Selasa, 15 November 2016

TangkapMO1: Mahasiswa UKM digantung, denda RM200


Asheeq AliAsheeq AliHanya menyertai himpunan Tangkap Malaysian Official 1 (#TangkapMO1) di ibu negara pada 27 Ogos lalu, seorang mahasiswa jurusan undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dikenakan hukuman tatatertib hari ini.
Presiden Student Unity Front, Asheeq Ali Sethi Alivi memberitahu pihak universiti menjatuhkan hukuman gantung pengajian satu semester dan denda sebanyak RM200 terhadapnya.
“Saya persoal kenapa perlu didenda RM200 walaupun gantung sudah satu hukuman yang serius. Pengerusi panel berkata, saya menyalahi undang-undang.
“Saya berhujah bahawa tiada sebarang kes di mahkamah terhadap saya. Dan ia tidak diterima! Ini adalah satu kezaliman yang tidak akan saya terima,” tegasnya dipetik daripada status Facebook beliau hari ini.
Tindakan pentadbiran UKM menjelang empat hari sebelum himpunan Bersih itu kemudiannya menyaksikan laman sosial Facebook milik Asheeq dibanjiri sokongan moral dan kempen #SolidaritiUntukAsheeq.
Antaranya, penuntut di Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya (UM), Luqman Nul Haqim Zul Razali yang menyoal tentang tuntutan pihak universiti yang dilihat bercanggah dengan makna sejagat atau universal pada institusi itu sendiri.
“Apakah yang universiti mahu sebenarnya? Universiti yang hilang nilai 'universal'nya. Moga tempoh gantung ini akan menguatkan saudara Asheeq Ali terus kuat lawan!” tegasnya di dinding Facebook Asheeq.
Sementara itu, aktivis mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Azzan Aznan menyeru gerakan mahasiswa untuk tidak berdiam diri dengan hukuman gantung pengajian yang kerap digunakan banyak pihak pentadbiran sebelum ini.

“Ini bukan kali pertama aktivis mahasiswa diperlakukan sebegini, dek bersuara, pengajian mereka digantung. Kalau dengan menggantung ini, pihak universiti nak takutkan aktivis? Anda sudah silap, aktivis sudah lama merdeka daripada ketakutan sebegini.
“Kalau dengan menggantung ini anda mahu hukum aktivis? Tunggulah masanya nanti, karma pasti menanti. Gantung sebab nak jaga periuk nasi kalian? Sedarlah, yang memberi rezeki itu Tuhan Al Qadiru Rahim, bukannya Kerajaan Malaysia BN yang Maha Korup,” tegasnya.
Sebelum ini, ekoran himpunan yang sama mendesak pihak polis mengheret entiti yang dinamakan sebagai MO1 dalam dokumen mahkamah Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat, beberapa penuntut Universiti Malaya (UM) turut berdepan dengan tindakan tatatertib atas alasan menjejaskan nama baik universiti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA