Jumaat, 18 November 2016

‘Tangkapan di ambang Bersih 5 akan semarakkan perhimpunan esok’

Pemimpin pembangkang berkata tindakan polis menangkap beberapa individu hari ini tidak akan mematahkan semangat peserta Bersih.
Shaharuddin-Badaruddin--Salahuddin-Ayub
KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan berkata semangat rakyat untuk turut serta pada perhimpunan Bersih 5 esok tidak boleh dilunturkan dengan siri tangkapan terhadap beberapa individu termasuk Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.
Naib Presiden PKR Dr Shaharuddin Badaruddin berkata beliau tidak nampak desakan dan gangguan penangkapan boleh mengurangkan jumlah mereka yang hadir.
“Malah kadang-kadang dari segi psikologinya, ia mencabar para demonstran untuk datang lebih ramai. Jadi selalunya orang-orang yang berdemonstrasi ini lagi dicabar, lagi dia nak turun.
“Orang datang bukan kerana Maria, orang datang disebabkan ketidakpuashatian beberapa isu yang timbul,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian mengulas siri penahanan polis terhadap mereka yang dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 5 esok, yang akan diadakan di tengah ibu kota.
Kumpulan Baju Merah diketuai Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos akan turut mengadakan perhimpunan bertujuan menghalang Bersih daripada berkumpul.
Polis sebelum ini memberi amaran akan mengambil tindakan keras termasuk menggunakan meriam air dan gas pemedih mata bagi meleraikan sebarang perhimpunan.
Selain Maria, turut ditahan petang tadi ialah urusetia Bersih 2.0 Mandeep Singh, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Ronnie Liu, Ahli Parlimen DAP Anthony Loke (Seremban) dan Jimmy Wong (Kota Kinabalu), ahli DAP Lee Khai Ming, aktivis pelajar Muhammad Luqman Nul Hakim dan Anis Syafiqah dan Ahli Jawatankuasa PSM, S. Arulchelvan.
Shaharuddin berkata ketiadaan pemimpin yang menggerakkan perhimpunan itu esok tidak bermakna ia tidak akan berlangsung.

“Ia dianggotai bukan sahaja oleh pemimpin NGO dan parti politik tetapi juga pertubuhan yang ada pengikut dia sendiri. Ini semuanya membantu memastikan perhimpunan itu dilakukan dengan aman,” katanya.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub pula berpendapat penangkapan itu hanya cubaan menimbulkan perasaan takut dan meresahkan rakyat
“Tapi bagi kami dan saya sendiri, kita dah cukup pengalaman dengan taktik terakhir macam ini. Bagi saya penangkapan itu tidak sama sekali menghalang rakyat yang pastinya begitu teruja untuk mengadakan perhimpunan aman esok.
“Saya sendiri yakin dan percaya bahawa seramai mana akan ditangkap, ramai lagi yang akan keluar esok untuk mengadakan perhimpunan aman esok. Itu keyakinan saya,” katanya.

1 ulasan:

  1. Bagi nazak mengeletar dan terberak dlm seluar! Barua2 najib tunggu giliran kamu

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA