Khamis, 24 November 2016

Tamak kuasa punca jawatan PM jadi rebutan, kata Annuar Musa

Beliau berkata jawatan nombor satu negara itu mengakibatkan penyandangnya sering difitnah dan berhadapan dengan politik kebencian.
annuar-musa-politic
KUALA LUMPUR: Sesiapa sahaja yang memegang jawatan perdana menteri tidak akan terlepas daripada serangan pelbagai pihak, kata Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata jawatan nombor satu negara itu yang kebiasaannya disandang presiden parti, mengakibatkan penyandangnya sering difitnah dan berhadapan dengan politik kebencian.
Katanya serangan itu bukanlah perkara baharu, berlaku sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad memegang kedua-dua jawatan berkenaan.
Tohmahan dan serangan serupa berlaku ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui pemerintahan negara dan wujud usaha-usaha menanam kebencian dan menjatuhkan beliau.
“Lepas 2 tahun (Abdullah memerintah), orang mula tanam benci kepadanya. Tiba-tiba semua tak kena (dan) akhirnya luka. Tukar orang lain yang lebih muda, berkarisma dan tegas…popular sekejap tapi sekarang dia pula kena serang,” katanya di pejabatnya di sini.
Melihat kepada landskap politik negara, usaha merebut jawatan perdana menteri berlaku amat jelas sejak pilihan raya umum 2008 berikutan angan-angan pembangkang menawan Putrajaya.
Mengulas lanjut, Annuar berkata sejak itu banyak politik kebencian dan kempen fitnah yang ditanam kepada rakyat bagi menjatuhkan sesiapa sahaja yang memegang jawatan perdana menteri.
“Perkara-perkara ini dirancang kerana perebutan kuasa, belum tentu benda yang dibawa itu adalah kebenaran.
“Selain itu, dengan adanya media baharu, ia memberi kelebihan kepada pembangkang sebab mereka menggunakan sepenuhnya,” kata beliau.

Mengambil contoh Datuk Seri Najib Razak, Annuar berkata pemimpin itu seolah-olah “tidak diendahkan” apabila memegang pelbagai jawatan menteri, ketua Pemuda Umno sehinggalah menjadi timbalan presiden Umno.
“Tapi bila beliau mula duduk di situ (memegang jawatan perdana menteri), pelbagai serangan dan fitnah mula datang.
“Jadi, pada saya sentiasalah lihat pada sejarah dan saya yakin sekalipun kita turunkan Najib dan gantikan dengan sesiapa sahaja, mereka tetap akan hadapi kecaman yang sama,” tegasnya.

2 ulasan:

  1. Ahli politik yg expired ni tak faham2 lg. Kami tak mahu pencuri jd PM kami. Itu saja

    BalasPadam
  2. Bukan tamak kuasa, ketua kamu penyamun.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA