Rabu, 16 November 2016

Takkan perunding bodoh guna kadar tukaran ringgit 2009 kira kos ECRL

Pua berkata, tindakan Liow menunjukkan beliau terdesak menjawab soalan semata-mata untuk mewajarkan kenaikan kos projek ECRL yang menimbulkan lebih banyak soalan berbanding jawapan.
tony-pua-liow-ecrl-1
PETALING JAYA: Tony Pua hari ini mempersoalkan menteri pengangkutan jika perunding HSS Integrated Sdn Bhd begitu bodoh menggunakan kadar pertukaran mata wang pada 2009 hingga 2010 untuk mengira kos Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), sedangkan kajian projek itu hanya dimuktamadkan tahun lalu.
Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Seri Liow Tiong Lai di Dewan Rakyat semalam yang kos pembinaan ECRL meningkat daripada RM29 bilion kepada RM55 bilion disebabkan penurunan nilai ringgit.
Katanya, pengiraan itu dibuat mengikut kadar pertukaran ringgit pada 2009 hingga 2010, iaitu RM3.20 kepada 1 dolar Amerika, berbanding kadar sekarang RM4.20 atau sudah naik kepada RM4.50.”
Pua berkata, tindakan Liow itu menunjukkan beliau terdesak menjawab soalan semata-mata untuk mewajarkan kenaikan kos daripada RM29 bilion kepada RM55 bilion yang seterusnya menimbulkan lebih banyak soalan berbanding jawapan.
“Adakah menteri pengangkutan memberitahu kita perunding-perunding HSS yang menyiapkan banyak projek infrastruktur mega di negara ini begitu bodoh menggunakan kadar pertukaran mata wang pada 2009-2010 untuk mengira kos projek itu, walaupun mereka hanya memuktamadkan laporan berkenaan pada Disember 2015 apabila kadar pertukaran sudah mencecah RM4 kepada dolar ketika itu?”
Pua berkata, kajian kebolehlaksanaan HSS itu menelan belanja RM8.7 juta dan mengambil masa 6 tahun untuk disiapkan, mulai Disember 2009 hingga Disember 2015, sebelum memuktamadkan kos ECRL berjumlah RM29 bilion.
“Disebabkan kajian lengkap HSS perlu mengambil 6 tahun untuk disiapkan dan hanya dimuktamadkan pada Disember 2015, bagaimana kerajaan tiba-tiba memutuskan hendak mengubah jajaran dalam masa 6 bulan atau lebih? Adakah perunding kejuruteraan baharu dilantik untuk menjalankan satu kajian baharu yang boleh disiapkan dalam tempoh itu?”

Pengerusi DAP Selangor itu turut mempersoalkan kenapa kerajaan memilih laluan terowong sepanjang 50km merentasi Banjaran Titiwangsa, sedangkan HSS mencadangkan laluan 30km yang lebih pendek.
Beliau berkata, jika benar Liow dan kerajaan telus serta bertanggungjawab, mereka perlu mengumumkan 2 kajian dijalankan HSS, termasuk kajian kebolehlaksanaan.
Katanya, melalui cara itu, pengkritik daripada pembangkang terpaksa mendiamkan diri dengan segera.
“Jika tidak, menteri pengangkutan yang juga presiden MCA itu tiada hak menuduh kami cuba ‘meraih kepentingan politik’, apabila apa yang kita jelas mahu ialah memastikan ia bukan satu lagi projek di mana berpuluh-puluh bilion ringgit digelapkan oleh mereka yang berkuasa.
“Sebaliknya, ia menampakkan Liow yang bermain politik untuk menutup satu lagi skandal mega berbilion ringgit,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA