Isnin, 7 November 2016

Tak wajar pertikai kesetiaan kaum Cina, Tian Chua selar Salleh

Menjadi tanggungjawab perdana menteri ke luar negara untuk mencari dana dan pelabur yang tiada kena mengena dengan tindakan mempengaruhi pengundi.
tian-chua-salleh-cina
PETALING JAYA: Datuk Seri Salleh Said Keruak dilihat mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman apabila menyatakan pembangkang tidak berani mengkritik Datuk Seri Najib Razak berhubung pelaburan dengan China kerana bimbang tindak balas komuniti Cina di Malaysia.
Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana ia seolah-olah cuba mengaitkan kaum Cina di Malaysia dengan negara Tembok Besar itu.
“China hanyalah satu negara, jadi kenapa perlu dikaitkan dengan sokongan masyarakat Cina? Adakah beliau (Salleh) melihat orang-orang Tiong Hua ini kesetiaan mereka kepada negara China?
“Ia memberi implikasi seolah-olah Cina di Malaysia sangat bergantung pada Cina di Tanah Besar. Kalau Malaysia baik dengan China, jadinya dokongan orang Cina akan meningkat?” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Salleh menerusi catatan blognya menyatakan pembangkang cemburu dan bimbang dengan lawatan perdana menteri ke China yang mungkin mempengaruhi sesetengah pengundi pembangkang dan pengundi atas pagar.
Ahli Parlimen Batu itu berkata, sudah menjadi tanggungjawab untuk perdana menteri ke luar negara bagi mencari dana dan pelabur dan dalam soal itu tidak ada kena mengena dengan undi daripada pengundi.
“Kalau beliau (Najib) pergi ke Rusia dapatkan pelaburan, adakah pengundi akan tukar. Apa kena mengena dengan undi? Sebagai perdana menteri, tugas beliau adalah untuk mendapatkan pelabur. Itu perkara biasa dan tiada kena mengena dengan undi.
“Adakah beliau bermaksud, pelaburan dari China itu akan jadi pengikat kepada masyarakat Cina di Malaysia. Itu adalah satu andaian yang bersifat perkauman,” katanya.

Menteri komunikasi dan multimedia itu turut memuji lawatan Najib ke China sebagai langkah bijak, seperti dilakukan bapanya perdana menteri ke-2 Tun Abdul Razak Hussein pada 1974.
Mengenai hasil positif lawatan rasmi 6 hari Najib yang berakhir semalam, Salleh berkata: “Pelaburan China di Malaysia akan mewujudkan pekerjaan dan peluang buat semua rakyat Malaysia serta menawarkan masa depan lebih cerah kepada negara.”
Sementara itu, Najib menyatakan tidak masuk akal apabila menuduh kerajaan menjual negara kepada China. Baginya, usaha beliau mendapatkan pelaburan langsung asing (FDI) adalah untuk mewujudkan peluang kerja bergaji tinggi dan prospek lebih baik bagi rakyat Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA