Sabtu, 5 November 2016

Tak masuk akal tuduh saya jual negara kepada China, sembang Najib

Najib berkata, usaha beliau mendapatkan FDI adalah untuk mewujudkan peluang kerja bergaji tinggi dan prospek lebih baik bagi rakyat Malaysia.
najib-china-malaysia
BEIJING: Datuk Seri Najib Razak berkata, pelaburan langsung asing (FDI) penting bagi pertumbuhan ekonomi negara.
Perdana menteri berkata, rakyat asing yang melabur di negara ini tidak boleh membawa balik infrastruktur yang dibina mereka di Malaysia ke negara asal mereka.
“Oleh itu, bagi mereka yang menuduh kerajaan menjual Malaysia kepada China, ia tidak masuk akal langsung, mungkin disebabkan cemburu atau didorong perasaan iri hati,” katanya kepada diaspora dan pelajar Malaysia dalam majlis makan malam, semalam.
“Pendirian saya jelas dan saya melakukannya untuk Malaysia dan rakyat dalam memastikan ekonomi negara berada pada tahap tinggi,” katanya.
Menteri kewangan itu berkata, usaha beliau mendapatkan FDI adalah untuk mewujudkan peluang kerja bergaji tinggi dan prospek lebih baik bagi rakyat Malaysia.
“Jika ekonomi tidak berkembang, maka rakyat Malaysia akan menghadapi masalah mendapat pekerjaan yang baik,” kata Najib.
Beliau menasihatkan pelajar Malaysia di China melihat ke dalam diri mereka dan tidak berfikiran sempit, tetapi bersahabat dan memahami budaya serta tamadun orang China dan belajar apa yang menjadikan mereka begitu bermotivasi dan berbeza daripada orang lain.

Katanya, di sebalik kelembapan ekonomi dunia, ekonomi China masih berkembang pada kadar 6.5% setahun.
Sebelum itu, Najib menerima kunjungan hormat daripada Gabenor wilayah Hebei, Zhang Qingwei dan mendengar taklimat daripada pengasas dan pengerusi Genting Secret Garden, Datuk Lim Chee Wah berhubung pelaburan mereka di Zhangjiakou bagi membangunkan puncak gunung di kawasan itu sebagai destinasi pelancongan terkenal dunia dan venue bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.
Taman Salji syarikat itu dipilih sebagai venue Sukan Olimpik bagi acara ski gaya bebas dan snowboarding.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA