Selasa, 22 November 2016

Tahan Maria Chin bawah Sosma cemarkan imej negara


Adun Pakatan Harapan Johor mendesak Maria chin dibebaskan dalam tempoh 24 jam Adun Pakatan Harapan Johor mendesak Maria chin dibebaskan dalam tempoh 24 jam
Wakil rakyat Pakatan Harapan Johor mendesak pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dibebaskan segera.
Dalam satu kenyataan bersama semalam, mereka mendakwa Sosma seolah-olah digunakan bagi tujuan kepentingan politik kumpulan berkepentingan untuk mengekalkan kuasa.
"Menerusi penangkapan Maria Chin Abdullah, terbukti Sosma dilihat seolah-olah digunakan bagi tujuan kepentingan politik kumpulan berkepentingan, bukan berfungsi menyekat terorisme dan keganasan yang mengancam keselamatan negara," kata Adun Bukit Batu dari PKR Jimmy Puah.
Adun Jementah dari DAP Tan Chen Choon pula berkata, penangkapan sedemikian mencalar imej negara berbanding perhimpunan Bersih yang terbukti aman dan menuntut pilihan raya yang adil.
"Pasca himpunan Bersih 5, kita dapat menyaksikan bahawa himpunan tersebut aman dan tidak menjurus kepada keganasan.
"Oleh itu, dengan jelas bahawa penangkapan Maria Chin Abdullah dan beberapa lagi aktivis Bersih serta pembangkang adalah tidak adil.

"Bersih tidak mencalarkan imej negara tetapi skandal, kleptokrasi dan penangkapan-penangkapan politik tak berasas sebeginilah menyumbang kepada tercalarnya imej negara," katanya.
Sementara itu, Adun Parit Yaani dari Amanah Aminolhuda Hassan berkata penahanan Maria hanya kerana beliau terlibat menganjurkan perhimpunan Bersih 5 tidak berasas kerana perhimpunan itu merupakan perhimpunan aman yang dijamin dalam perlembagaan.
"Tiada asas yang kukuh dilakukan penangkapan terhadap Maria dan rakan-rakan aktivis yang lain. Kami mendesak agar mereka dibebaskan segera dalam masa 24 jam," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA