Khamis, 17 November 2016

Tadbir Malaysia dengan ikhlas, nasihat sami Taiwan kepada Najib

Chin Kung menyifatkan Najib sebagai orang baik dan kawan lamannya.
chin-kung
PETALING JAYA: Keadaan di Malaysia akan menjadi lebih baik, jika Datuk Seri Najib Razak menjaga rakyat dan mentadbir negara dengan ikhlas, nasihat seorang sami dari Taiwan.
Chin Kung yang dipetik Nanyang Siang Pau berkata, sebagai negara kecil, Malaysia masih boleh memainkan peranan dengan mempromosi keamanan ke seluruh dunia, melalui penyebaran keamanan agama dan pemikiran sederhana, berdasarkan hubungan baik Malaysia dengan China.
“Saya dengan Najib boleh dikatakan kawan lama, saya pertama kali berjumpa dengannya pada 2005, di mana Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memperkenalkan kami berdua.
“Najib adalah orang baik. Pada perjumpaan pertama kami, soalan pertama beliau tanya saya ialah bagaimana hendak mentadbir Malaysia dengan baik?” katanya selepas mengadakan dialog bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia dan masyarakat Cina di Wisma Huazong, Seri Kembangan, semalam.
Katanya, nasihat beliau kepada Najib ketika itu ialah beliau perlu menggunakan keikhlasan, meningkatkan sistem pendidikan dan mendidik rakyat dengan baik, demi masa depan lebih cerah.
Sejak 2011, beliau melawat Malaysia setiap tahun dan menemui Najib, termasuk ketika beliau berkunjung ke negara ini pada April lalu.
Bagaimanapun, kali ini mereka berdua tidak berpeluang menemui satu sama lain kerana kebetulan Najib sedang mengadakan lawatan 3 hari ke Jepun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA