Ahad, 6 November 2016

Syed Saddiq tidak tahu politik, hanya pandai bercakap, kata Bung Moktar

Pelantikan Syed Saddiq memberi gambaran PPBM tidak mampu menjadi alternatif kepada rakyat apalah lagi mahu menggugat Umno.
bung-syed-saddiq
PETALING JAYA: Perlantikan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai ketua armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), membuktikan parti baharu itu ketandusan dalam mencari pemimpin berkualiti, kata Datuk Bung Moktar Radin.
Menurut ahli Majlis Tertinggi Umno itu, ia sekali gus memberi gambaran PPBM bukanlah parti yang mampu menjadi alternatif kepada rakyat apalah lagi mahu menggugat Umno.
“Kita lihat bagaimana ketua pemuda seperti Syed Saddiq, walaupun beliau mungkin mempunyai latar belakang seorang yang fasih bercakap tetapi Syed tidak mempunyai walaupun sedikit pengalaman politik, jauh sekali mendalami dan mendampingi denyutan nadi rakyat.
“Pada saya PPBM bukanlah sebuah parti alternatif yang boleh menggugat kekuatan Umno pada bila-bila masa. Umno sudah mempunyai kekuatan tersendiri,” katanya.
Mengulas mengenai kemelut yang berlaku dalam PPBM susulan perlantikan barisan pimpinan tertingginya yang menimbulkan rasa tidak puas hati kalangan pemimpin dan ahli parti, beliau berkata itu adalah gambaran awal yang ia tidak akan bertahan lama.

“Tiada kepimpinan, keyakinan dan dari segi kualiti mencari pemimpin. Kita lihat PPBM belum pun dapat mengorak langkah sudah pelbagai masalah terjadi, ada ahli keluar parti kerana hilang keyakinan, ada yang menghentam pemimpin mereka kerana tidak dapat memilih barisan yang baik.
“Pendek kata PPBM mungkin seperti parti serpihan Umno lain yang tidak akan bertahan lama kerana mereka berjuang atas dasar dendam dan kebencian,” katanya.
Bung berkata demikian kepada FMT bagi mengulas kekecewaan yang diluahkan ahli PPBM susulan kegagalan pucuk pimpinan parti memilih individu benar-benar layak menerajui parti, malah ada dalam kalangan mereka sudah keluar daripada parti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA