Isnin, 7 November 2016

Syarikat dianugerah projek ECRL korup, disenarai hitam Bank Dunia

Syarikat China Communication Construction Company Ltd (CCCC) yang diberikan anugerah projek pembinaan Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) oleh Kerajaan Malaysia merupakan syarikat yang disenaraihitamkan Bank Dunia.
Mantan Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, syarikat itu disenaraihitamkan pada 2009 apabila syarikat itu didapati merasuah beberapa pegawai dan pimpimpin kerajaan negara asing bagi mendapatkan projek di negara terlibat.

landasan-keretapi-pantai-timur-ecrl“Selain itu, syarikat ini juga memiliki trek rekod buruk apabila beberapa projeknya menemui kegagalan, misalnya pembinaan jambatan di China sendiri hingga ada yang pernah runtuh.
“Maka tidak hairanlah mereka disenaraihitamkan oleh Bank Dunia hingga sekarang tetapi yang menghairankan kenapa Kerajaan Malaysia memilih syarikat seperti ini sedangkan masih banyak lagi syarikat lain yang berupaya menjalankan projek ECRL ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.
Jelasnya, selain Bank Dunia sekurang-kurangnya tiga bank pusat lain seperti Bank Pembangunan Afrika, Bank Pembangunan Asia dan Bank Pembangunan Eropah turut menyenaraihitamkan syarikat CCCC.
Katanya, tindakan Najib menganugerahkan projek ECRL kepada CCCC menimbulkan tanda tanya lantaran imej syarikat itu terpalit amalan rasuah.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke China mengumumkan projek ECRL yang menelan kos sebanyak RM55 bilion akan dijalankan oleh syarikat CCCC.
Projek itu diberikan kepada CCCC secara rundingan terus, tanpa membuka tender kepada syarikat lain yang berminat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA