Rabu, 9 November 2016

Sudah 10 tahun, sampai bila lagi Sandakan mahu bergelap?

Kerajaan Persekutuan disifatkan gagal menyelesaikan permasalahan punca gangguan elektrik yang berlaku di Sandakan sejak lebih 10 tahun lalu.
Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt berkata, walaupun pelbagai insiatif dan janji Putrajaya untuk menyelesaikan krisis tersebut, komitmen mengenainya masih gagal diselesaikan sehingga kini.

“Amat penting untuk Menteri mengambil perhatian serius kerana hampir setiap hari Sandakan menghadapi gangguan elektrik ini.
“Keadaan sama masih berlaku bukan untuk tempoh beberapa tahun ini sahaja, tetapi masih gagal diselesaikan sejak lebih 10 tahun.
“(Menteri) beri janji dan jawapan di Parlimen (untuk selesaikan masalah), tapi malangnya masih gagal.
“Berapa lama janji gangguan ini boleh ditamatkan?” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di Parlimen pagi ini.
Sebelumnya beliau meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili mendedahkan punca gangguan bekalan eletkrik yang kerap berlaku di kawasan perbandaran Sandakan.
Persoalan mengenainya turut dibangkitkan anggota Parlimen Barisan Nasional Batu Sapi, Datuk Linda Tsen Thau Lin berhubung inisiatif berterusan Kerajaan Persekutuan bagi menangani masalah tersebut.

Sementara itu, Maximus dalam jawapan balasnya berkata, jawatankuasa khas (task force) mengenainya ditubuhkan sebagai lanjutan untuk memastikan masalah tersebut dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan RM300 juta juga diperuntukkan dan audit mengenainya juga dibuat supaya program dan KPI dilaksanakan mengikut jadual.
Tenaga Nasional Berhad dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bertanggungjawab sepenuhnya memperbaiki dan memastikan penyaluran elektrik disalurkan secara berkesan kepada penduduk Sandakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA