Rabu, 9 November 2016

Subsidi dipotong, rakyat mengamuk harga barang naik mendadak


KLUANG, 9 NOV: Tindakan kerajaan membatalkan peruntukan RM1 bilion subsidi minyak masak dan barangan keperluan harian lain telah menyebabkan peningkatan drastik harga barang keperluan sehingga amat membebankan pengguna.
img-20161109-wa0027Kesal dengan perkara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali berkata tiada sebarang pelarasan dasar dibuat oleh kerajaan demi menjamin kebajikan rakyat selepas membuat pemotongan subsidi terbabit.
Menurutnya, RM1 bilion yang kononnya ‘dijimatkan’ kerajaan patut dikembalikan kepada rakyat melalui satu rangka polisi yang lebih bersepadu dan komprehensif.
img-20161109-wa0025“Inilah tanggungjawab sebenar kerajaan untuk memastikan setiap rakyat dari semua lapisan masyarakat dapat hidup dengan lebih selesa.
“Ironinya, kerajaan hari ini memansuhkan subsidi barangan keperluan harian. Pada masa sama, membiarkan rakyat hidup melarat akibat krisis ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sheikh Omar menjelaskan, pihaknya menerima banyak rungutan daripada warga Kluang akibat rasa tidak puas hati mereka dengan kenaikan mendadak harga minyak masak di negara ini.
Rata-rata masyarakat menganggap kerajaan telah gagal menguruskan ekonomi negara secara telus, bijak dan berhemah.
“Antara aduan paling kerap kami terima ialah, label harga pada botol minyak masak masih menunjukkan harga lama yang disubsidi.
“Tetapi, kedai atau pasaraya menjualnya mengikut harga baru yang lebih mahal tanpa subsidi selepas 1 November 2016,” ujarnya.

Beliau dan ahli-ahli DAP Kluang telah mengambil inisiatif ke pasaraya Pacific di Kluang Mall semalam sejurus menerima aduan dari penduduk di situ.
Ia berikutan cetakan harga minyak masak jenama ‘Knife’ dalam botol 5kg yang dijual di situ tertulis harga sebelum pemotongan subsidi, iaitu sebanyak RM14.70.
“Namun, pengguna terpaksa membayar dengan harga RM23.10.
“Hal ini menguatkan lagi kesangsian pengguna bahawa stok-stok minyak masak ini telah disembunyikan bagi tujuan keuntungan pihak-pihak tertentu,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA