Selasa, 8 November 2016

SPRM ingatkan pemimpin jangan jual amanah, lacur kuasa

Ketua pesuruhjaya SPRM meminta rakyat menaruh kepercayaan kepada pihaknya untuk terus menentang kebejatan dan salah guna kuasa.
Datuk-Dzulkifli-Ahmad_sprm_600PUTRAJAYA: Sempena 100 hari mengemudi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad mengingatkan pemimpin negara yang badan itu sentiasa memerhati mereka.
“Buat ahli politik dan pemimpin masyarakat, jangan kamu khianati amanah rakyat. Hentikanlah membuai para marhaen dengan ciptaan yang mengaburi kebenaran, sedang jari rakus meragut habuan.
“Laksanakanlah amanah yang dituntut dan perjuangkanlah nasib rakyat yang dahagakan pembelaan. Yakinlah kami (akan) menentang kebejatan dan salah guna kuasa,” kata ketua pesuruhjaya SPRM itu.
Beliau menyampaikan “warkah terbuka” penuh puitis ketika majlis ringkas sempena 100 hari dilantik sebagai ketua pesuruhjaya, di ibu pejabat SPRM hari ini.
Beliau menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang menamatkan perkhidmatannya pada 1 Ogos lalu.
Lantikan itu tidak sunyi daripada kontroversi memandangkan SPRM ketika itu lantang membawa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengunduran Abu Kassim, bersama-sama Datuk Seri Shukri Abdul dan Datuk Seri Mustafar Ali.

Dzulkifli turut mengingatkan penjawat awam dan penguatkuasa undang-undang agar tidak “menjual amanah dan kuasa sebagai lacuran”.
“Sedarlah, khazanah dan harta negara adalah hak rakyat dan bukan milik peribadi, apatah lagi untuk dikhianati dan dijual beli.
“Lewat ini semakin banyak anak-anak mata yang memerhati,” katanya lagi.
100 hari memimpin SPRM, badan itu mendapat pujian ramai apabila giat mengambil tindakan terhadap penjawat awam antaranya Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL Datuk Seri Syed Afendi Ali yang kini didakwa dengan 9 pertuduhan rasuah dan 9 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM4.4 juta.
Namun yang paling diingati tentulah kes melibatkan pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah, apabila merampas wang tunai dan harta bernilai RM114.5 juta yang disimpan di kediaman mereka.
Buat kakitangan SPRM, beliau berkata mereka “harus kekal dalam iltizam memerangi kebejatan rasuah dan salah guna kuasa”.
“Melangkahlah dengan gagah dan tanpa gentar, biar habis musuhmu rebah dalam geletar. Buat mereka yang masih mabuk dalam suapan, hentikanlah pengkhianatan yang berumbikan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA