Rabu, 9 November 2016

SPLASH: MB dakwa Khalid hipokrit, bohongi rakyat

Datuk Seri Azmin Ali berkata Tan Sri Khalid Ibrahim perlu bertanggungjawab dengan tindakannya sebelum ini dan berhenti berbohong kepada rakyat.
azmin-khalid
SHAH ALAM: Pendedahan tawaran sebenar sebanyak RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH) hanya untuk mendedahkan sikap sebenar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berkata Khalid sebagai bekas menteri besar negeri itu seharusnya bertanggungjawab dengan tindakannya sebelum ini dan berhenti berbohong kepada rakyat.
“Kenapa perlu bohong kepada rakyat? Dia (Khalid) sebut RM250 juta. Saya ada bukti dan tunjuk di Dewan Undangan Negeri Selangor dan SPLASH setuju tawaran tersebut.
“Yang saya dedahkan ialah hipokrasi Khalid dan itu perkara utamanya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar DUN Selangor.
Azmin pada Selasa lalu meminta Khalid menjawab tuduhannya di DUN Selangor.
Beliau berkata pihaknya mempunyai dokumen dan surat yang membuktikan tuduhan itu ketika Khalid menerajui Selangor.
Khalid juga sebelum ini menafikan sewaktu memegang jawatan menteri besar Selangor tidak pernah memaklumkan kepada DUN berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada SPLASH melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya pada 19 Julai 2009.
Pada masa sama, Azmin berkata buat masa ini pengambilalihan SPLASH ditangguhkan selama 6 bulan atas permintaan kerajaan persekutuan yang mahu melantik penilai bebas antarabangsa dalam menentukan harga dibayar kepada SPLASH.
Katanya, kerajaan negeri bersetuju dan menyokong tindakan kerajaan persekutuan itu bagi membolehkan satu harga ditentukan dan disokong semua pihak.
“Walaupun kerajaan negeri ambil tindakan sama setahun lalu (lantik penilaian bebas antarabangsa), tetapi kita dukung tindakan kerajaan persekutuan itu.
“Jadi proses perbincangan masih berjalan di antara kerajaan negeri dengan persekutuan,” katanya.
Sementara itu, Azmin tidak akan menghalang sekiranya Adun Barisan Nasional ingin membawa percanggahan nilai sebenar tawaran kepada SPLASH ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Itu terpulang kepada pihak berkenaan (BN),” katanya ringkas mengulas mengenai tindakan Datuk Sulaiman Abdul Razak (Permatang-BN) yang mungkin akan membawa isu SPLASH ke SPRM.
Sulaiman sebelum ini berkata BN Selangor akan membawa perkara itu ke SPRM jika wujud bukti dan fakta yang menunjukkan penyelewengan dalam pengambilalihan SPLASH.
“Saya yakin kalau kita temui bukti dan fakta yang menunjuk kepada penyelewengan dan unsur kepentingan peribadi, pasti kita akan buat laporan kepada SPRM. Itu wajar untuk kita buat,” katanya pada sidang media di Dewan Annex DUN Selangor, baru-baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA