Selasa, 22 November 2016

Speaker Dewan Rakyat lindungi Tajuddin, dakwa pembangkang

Ahli Parlimen Batu Kawan berkata beliau kecewa dengan Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana hanya menutup mata terhadap kata hinaan yang sering dilemparkan terhadap ahli Parlimen wanita.
Kasthuri-Patto_pandikar_600
KUALA LUMPUR: Pemimpin pembangkang hari ini mengecam Tan Sri Pandikar Amin Mulia, mendakwa speaker itu melindungi ahli Parlimen BN yang menggunakan bahasa provokatif di dalam Dewan Rakyat.
Pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthoori Patto berkata beliau kecewa dengan Pandikar kerana hanya menutup mata terhadap kata hinaan yang sering dilemparkan terhadap ahli Parlimen wanita.
“Sebentar tadi Pandikar panggil saya pembohong di Parlimen, dan dia kata semuanya selesai.
“Apa yang selesai? Cuma cara mudah untuk speaker melindungi ahli Parlimen yang mulut busuk seperti Tajuddin Abdul Rahman?,” soalnya.
Kasthoori berkata ahli Parlimen wanita sering dipersenda di Parlimen dan speaker terus menerus membantu ahli Parlimen yang melakukan tindakan itu.
Kasthoori berkata sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan dirinya sendiri pernah dipanggil pondan oleh ahli Parlimen BN.
“Berapa lama lagi benda mengarut seperti ini akan berterusan? Ini Dewan Rakyat dan kita masih ada ahli Parlimen seperti ini,” katanya.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mencadangkan Pandikar sepatutnya menghadiri seminar “latihan sensitiviti gender” untuk mendidiknya mengenai perkara itu.
“Jika ada keperluan latihan sensitiviti gender, speaker pun perlu pergi.
“Dia kena faham yang kenyataan Tajuddin itu satu sindiran,” katanya.
Ahli Parlimen Pantai Nurul Izzah Anwar turut meluahkan sentimen sama, berkata ahli Parlimen sepatutnya lebih sensitif terhadap kesaksamaan gender.
“Sekarang sudah 2016, sepatutnya perlu wujud lebih sensitiviti terhadap wanita.

“Semua ahli Parlimen jijik dengan apa yang berlaku semalam,” katanya.
Semalam, Tajuddin dikecam kerana menghina Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok di Parlimen apabila berkata Teresa satu-satunya wanita di kawasannya yang ada “Kok”.
Kenyataan Tajuddin itu dianggap sebagai “seksis”, hingga mendorong Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad memanggilnya “menteri sial”.
Ahli Parlimen Batu Tian Chua berkata kenyataan “kok” itu sangat kasar secara semula jadi dan ia menghina Parlimen.
“Saya minta speaker ambil tindakan dan semua rakyat Malaysia mengutuk mana-mana ahli Parlimen yang menghina wanita dan imej kerajaan,” katanya.
Kasthoori mendesak Tajuddin supaya dengan segera menarik balik kata-katanya dan minta maaf, kerana dia menghina setiap ahli Parlimen wanita dan pengundinya di Pasir Salak.
“Kami berharap jika Tajuddin mendengar ini, sila kembali ke Parlimen untuk minta maaf dan tarik balik kenyataan anda,” katanya.

1 ulasan:

  1. Dia mmg berat sebelah. Tak layak jd speaker. Dok rumah jg cucu saja

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA