Rabu, 2 November 2016

Speaker cabar ahli Parlimen DAP tidak masuk Dewan Rakyat

Pandikar amat kesal dengan sikap Lim Lip Eng yang tidak menghormati kedudukan speaker dipilih mengikut Perlembagaan Persekutuan.
lip-lim-eng-pandikarKUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dicabar tidak masuk ke Dewan Rakyat, sekiranya tidak mengiktiraf kedudukan Yang Dipertua atau speaker yang dilantik mengikut Perlembagaan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia amat kesal dengan sikap ahli Parlimen DAP itu yang tidak menghormati kedudukan speaker dipilih mengikut Artikel 57(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.
“Kalau YB Segambut berpendirian sedemikian, saya cabar beliau tidak masuk dalam Majlis Mesyuarat sewaktu saya mempengerusi mesyuarat.
“Saya juga tidak akan menghormati seorang anggota Yang Berhormat yang tidak menghormati Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam sidang Dewan Rakyat pada 25 Oktober lalu, Lim mendakwa Pandikar memberi ‘syarahan’ mengenai isu subjudis saman Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ), sebelum kedua-duanya bertikam lidah dan Lim diarah keluar.
Pandikar turut menegaskan dirinya tidak perlu meminta maaf kepada ahli Parlimen pembangkang yang keluar dewan ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2017, pada 21 Oktober lalu.

Ini kerana katanya, tindakan mereka dirancang lebih awal untuk mengaibkan Najib yang juga menteri kewangan secara peribadi, bukannya disebabkan mereka tidak bersetuju dengan kandungan bajet.
“Pernyataan ini dibuktikan oleh tindakan ahli-ahli yang berhormat berkenaan mengangkat plakad-plakad tertulis perkataan ‘siapa MO1?’ sebelum mereka keluar.
“Atas sebab itu, soal untuk saya meminta maaf kepada ahli-ahli yang berhormat kononnya saya halau keluar tidak timbul sama sekali atas sebab pertama, mereka sendiri yang merancang untuk keluar. Kedua, mereka melanggar Peraturan Mesyurat 41(1)(e),” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA