Rabu, 23 November 2016

Sosma: Surat terbuka pada semua ahli parlimen


Oleh ZULHAZMI SHARIF
Pada 16 April 2012 perdana menteri, yang berhormat Pekan Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (rujuk muka surat 5-6 Penyata Rasmi Dewan Rakyat DR 16.04.2012), menyatakan dengan jelas:


“Di bawah pindaan undang-undang ini, aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen ditafsir sebagai satu aktiviti yang dilakukan oleh seorang atau kumpulan orang dengan tujuan untuk menggulingkan atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara yang ganas dan tidak berlandaskan perlembagaan.

“Secara mudahnya, jika ada mana-mana rakyat Malaysia sama ada individu, kumpulan atau parti politik berhajat merubah teras asas memerintah negara iaitu demokrasi berparlimen kepada misalnya pemerintahan yang bersifat teokratik, mereka haruslah menggunakan cara-cara yang diabsahkan oleh Perlembagaan Persekutuan yakni melalui peti undi untuk mendapat sokongan majoriti rakyat.

|Ini bersesuaian dengan prinsip bahawa rupa bentuk kerajaan hanya boleh ditentukan oleh rakyat itu sendiri.”
Jelas perdana menteri yang juga dikenali sebagai Malaysia Official 1 menyatakan bahawa aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen ditafsir sebagai aktiviti seorang atau kumpulan orang dengan tujuan menggulingkan atau melemahkan demokrasi berparlimen dengan cara yang ganas dan tidak berlandaskan perlembagaan.
Kesalahan berkaitan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen diperuntukkan di Seksyen 124B, 124C, 124D, 124E, 124F dan 124J Kanun Keseksaan.

Setelah hampir lima tahun Sosma berkuat kuasa, sudah ramai warganegara Malaysia ditahan untuk siasatan dan didakwa melalui akta ini.
Terbaru Malaysia dikejutkan dengan penangkapan dan penahanan beberapa orang aktivis masyarakat yang terlibat dengan BERSIH.

Sehingga tulisan ini ditulis, Maria Chin Abdullah masih ditahan polis bawah peruntukkan Seksyen 124C Kanun Keseksaan iaitu percubaan melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
Kenapa Puan Maria Chin ditahan bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan? Apakah keganasan yang beliau lakukan? Sosma hanya digunakan bagi tindakan keganasan.


Itu janji perdana menteri ketika membentangkan akta tersebut. Tidakkah polis dan peguam negara tahu dan faham segala peruntukkan dan tujuan penggubalan Akta ini?
Tindakan polis menangkap dan menahan Maria dan beberapa orang lain yang telah dilepaskan ialah tindakan yang bercanggah dengan akta dan perlembagaan.
Bebaskan segera
Kepada semua anggota Dewan Rakyat, aturan urusan mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat hari ini di nombor lapan dalam senarai terbentang suatu usul daripada menteri dalam negeri seperti berikut:
“Bahawa Majlis ini membuat suatu ketetapan menurut Subseksyen 4(11), Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 supaya subseksyen 4(5), Akta ini hendaklah terus berkuat kuasa bagi tempoh 5 tahun lagi mulai dari 31 Julai 2017”.
Usul ini adalah suatu mengikut Seksyen 4 (11) Akta adalah untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua Majlis Parlimen untuk meneruskan kuatkuasa Seksyen 4(5) Akta bagi tempoh lima tahun lagi bermula 31 Julai 2017.
Seksyen 4(5) memperuntukkan kuasa kepada polis untuk menahan seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan untuk siasatan selama tempoh tidak lebih 28 hari.
Hari ini Maria dan beberapa orang lagi masih ditahan di bawah peruntukkan Seksyen 4(5) ini yang kononnya untuk siasatan.

Polis mempunyai kuasa menahan Maria selama tidak melebihi 28 hari. Selama tempoh tersebut, mereka bebas melakukan apa saja.
Saya sebagai seorang warga negara Malaysia memohon seluruh anggota Dewan Rakyat menolak usul menteri dalam negeri tersebut dan seterusnya mendesak kerajaan khususnya menteri dalam negeri meminda Seksyen 4 (5) tersebut.

Kuasa yang amat luas diberikan kepada polis ini telah menyebabkan polis menggunakannya secara tidak bertanggungjawab dan seterusnya memangsakan orang-orang yang ditahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA