Isnin, 21 November 2016

SOSMA: Pilu lihat ibu teraniaya, anak Maria buat laporan polis


PETALING JAYA, 21 NOV: Hati mana yang tidak pilu dan marah melihat ibu teraniaya atas kesalahan yang tidak dilakukan.
Lebih-lebih lagi apabila sang ibu merupakan seorang pejuang demi sebuah negara  dan pilihan raya yang adil dan bersih.
slide1Itulah yang sedang berlaku ke atas Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah yang kini tidak diketahui lokasi penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).
Menurut anak sulungnya Azumin Yunus, penahanan ibu mereka itu amat tidak wajar memandangkan ibu mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan dan bukanlah pengganas.
Katanya, pihak keluarga juga tidak tahu di mana dan bila Maria ditempatkan.
“Kami agak gembira bila kami bertemu ibu Sabtu lalu,  tapi bila ibu beritahu tentang layanan yang diterima di sel dengan lampu dipasang 24 jam, dia cuma dapat dua pasang pakaian, tidur atas papan, jadi kami fikr berapa lama lagikah ibu akan hadapi semua ini. Bila kami akan bersatu lagi?” kata Azumin.
Beliau bercakap kepada pemberita sebentar tadi di Ibu Pejabat Daerah Polis Petaling Jaya setelah membuat laporan polis berikutan penahanan Maria.
“Ibu kami yang tak buat apa-apa kesalahan dan berjuang demi keadilan, untuk pilihan raya bersih, telah dilayan sedemikian.
“Kenapa ini semua berlaku ke atas ibu kami yang tak lakukan apa-apa kesalahan ke atas negara ini?” ujarnya.

Pada masa sama, Azumin turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai dan semua pihak yang terus menerus memberi sokongan moral dan bersolidariti terhadap nasib yang menimpa ibu mereka.
“Kalau ibu ada di sini malam tadi (himpunan solidariti), dia akan sangat-sangat gembira melihat kehadiran ramai memberikan sokongan. Bukan mengenai pembebasannya tapi terhadap ketidakadilan yang berlaku seperti ini.
“Kami, di pihak anak-anak mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong Bersih 5. Terima kasih kerana turun ke perhimpunan Bersih dan terima kasih kerana menyokong ibu kami. Kami berharap kalian akan terus memberi sokongan,” katanya lagi.
Maria telah ditahan bersama Pengerusi Sekretariat Bersih Mandeep Singh di pejabatnya di Petaling Jaya Jumaat lalu sehari sebelum perhimpunan aman Bersih 5.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA