Rabu, 23 November 2016

SOSMA: Kit Siang gelar Najib ‘Raja U-turn’, tidak boleh dipercayai

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digelar ‘Raja U-Turn’ ekoran penyalahgunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ke atas Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.
Sambil menyifatkan Najib sebagai Perdana Menteri yang paling tidak boleh dipercayai, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, seorang menteri kabinet Najib sebelum ini telah menyatakan dengan jelas bahawa akta zalim itu hanya akan digunakan bagi mengekang aktiviti pengganas.
Kit Siang berkata demikian dengan memetik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz semasa penggulungan perbahasan akta berkenaan empat tahun lalu di Parlimen yang menyatakan:
“(SOSMA) merupakan undang-undang yang menentang keganasan, oleh yang demikian rang undang-undang ini akan berbeza dan tidak bolehlah disamakan dengan undang-undang jenayah yang biasa … bertujuan untuk melindungi Malaysia daripada terdedah kepada ancaman pengganas.”
Nazri, menurut Kit Siang turut menegaskan bahawa SOSMA hanya akan digunakan untuk menentang aktiviti pengganas.
Malah Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mengingatkan bahawa Nazri pernah berkata bahawa: “kementerian tidak akan hilang, individu akan datang dan pergi dan kita terikat dengan apa juga keputusan yang telah dibuat oleh Menteri-menteri yang terdahulu”.
Namun malangnya, menurut Kit Siang, Najib tidak menegakkan prinsip tanggungjawab bersama yang telah dipersetujui oleh kabinet yang ditadbir Menteri Kewangan itu berhubung SOSMA.

“Jelas sekali, prinsip tanggungjawab bersama tidak bermakna untuk Najib, di mana SOSMA yang dibentangkan di Parlimen pada tahun 2012 dengan aku janji khusus bahawa ia akan digunakan semata-mata untuk memerangi keganasan boleh diingkari oleh Perdana Menteri yang sama!” ujar Kit Siang dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, katanya, beliau menggesa supaya Najib memperjelaskan sebab mengapa beliau melanggar aku janji yang dibuat oleh menteri kabinetnya itu mengenai skop penggunaan SOSMA dan sama ada Maria akan dibebaskan dengan segera daripada terus direman selama 28 hari mengikut akta itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA