Khamis, 24 November 2016

Sosma: Bapa Maria tak bercakap selama dua hari, kata anaknya

Kerana kesedihan ekoran penahanan anaknya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), bapa pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah tidak bercakap selama dua hari.
Bercakap di majlis sokongan untuk Maria berhampiran Dataran Merdeka malam tadi, anggota jawatankuasa pemandu BERSIH, Fadiah Nadwa Fikri berkata perkara itu diberitahu oleh anaknya Cynthia Chin.
Tetapi selepas Cynthia memberitahu bapa mereka tentang sokongan terhadap Maria, seperti yang terbukti dalam majlis yang diadakan itu,  ia berjaya membuat bapanya mengukir senyuman.
Semalam adalah malam keempat majlis itu diadakan sehingga pembebasan Maria.
Selain ditahan di bawah Sosma, yang membenarkan penahanan tanpa bicara sehingga selama 28 hari, Maria juga sedang disiasat di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana didakwa "mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen".
Majlis malam tadi menarik kira-kira 500 penyokong, yang sebahagian besarnya memakai baju-T BERSIH.
Para peserta kelihatan bersemangat dan mendengar dengan penuh perhatian ucapan para aktivis dan pemimpin politik.
Berselang-seli semasa ucapan itu ialah laungan "Bebas Maria" dan "Mansuh Sosma" dan juga nyanyian beberapa lagu yang diketuai oleh beberapa penceramah.

Sementara itu, pengurus sekretariat BERSIH, Mandeep Singh menjemput para penyokong menghadiri kempen yang akan dilancarkan pada hari Jumaat bagi mendesak pembebasan Maria.
Ia akan diadakan di Perpustakaan Petaling Jaya dan Mandeep menggesa mereka datang dalam ribuan bagi menunjukkan bahawa mereka tidak akan berundur selagi pemimpin mereka tidak dilepaskan.
Antara mereka yang hadir ialah bekas pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah, Anggota Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar, Anggota Parlimen AMANAH Mohd Hatta Ramli dan anggota jawatankuasa pemandu BERSIH Hishamuddin Rais.
Acara itu, yang berlangsung selama tiga jam, diakhiri dengan sesi bacaan doa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA