Khamis, 17 November 2016

Skandal THHE: Jangan hanya bekas CEO THHE, siasat juga Tabung Haji, kata Rafizi

Setiausaha Agung PKR menggesa siasatan SPRM diperluaskan ke Lembaga Pengarah TH, yang meluluskan suntinkan dana untuk syarikat bermasalah itu.
rafizi,th
PETALING JAYA: Rafizi Ramli menggesa siasatan SPRM terhadap bekas CEO TH Heavy Engineering (THHE) diperluaskan ke Lembaga Pengarah Tabung Haji (TH), yang meluluskan suntikan dana untuk syarikat yang didakwa bermasalah itu.
Ini kerana beliau percaya siasatan yang hanya berkisar kepada urusniaga yang bersabit dengan suapan dan dikaitkan dengan harta milik individu yang berkaitan THHE adalah tidak adil.
Setiausaha Agung PKR dalam kenyataan hari ini mempertikaikan mengapa pengurusan kanan TH terus menyuntik dana ke THHE, walaupun lembaga dana ibadat itu cuma memegang 30% saham dalam syarikat yang didakwa mengalami kerugian.
“Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana pengurusan terkanan TH termasuk Lembaga Pengarah dan Panel Pelaburan boleh membuat keputusan untuk melabur di dalam sebuah syarikat yang telah pun mengundang pelbagai kontroversi ketika THHE dikenali sebagai Ramunia Holdings Berhad.
“Pengurusan terkanan daripada peringkat Lembaga Pengarah, Panel Pelaburan dan Ketua Pegawai Eksekutif yang bertanggungjawab dalam keputusan di atas perlu disiasat juga kerana keputusan mereka terus melaburkan wang pendeposit TH ke dalam THHE.
“Kalau pun tiada unsur rasuah atau penyelewengan, boleh disiasat untuk memastikan tidak ada unsur kecuaian sehingga menyebabkan kerugian sedemikian rupa.”
THHE hari ini mendedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Nor Badli Munawir Mohamad Alias Latif disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Rafizi memuji siasatan SPRM itu, yang menurutnya ke atas aduan kepincangan pengurusan di dalam THHE, yang didakwa menyebabkan ratusan juta wang pendeposit Tabung Haji hangus dalam tempoh 7 tahun yang lalu.
“Saya juga telah mendedahkan dokumen rasmi yang menunjukkan Kementerian Kewangan, di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak, telah meluluskan pakej sokongan baru kepada THHE, yang boleh meningkatkan risiko hangusnya wang pendeposit yang dilaburkan sehingga mencecah RM1.4 bilion.

“Bagaimanapun, pakej sokongan kewangan dalam bentuk jaminan korporat untuk membuat pinjaman baharu tidak digunakan THHE.
“Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan menganugerahkan kontrak pembinaan kapal peronda pesisir pantai yang berjumlah sekitar RM700 juta kepada THHE secara rundingan terus walaupun THHE tidak berpengalaman dalam bidang itu.”
Rafizi mendakwa penganugerahan kontrak itu usaha untuk menjamin keluar THHE, yang didakwa hampir muflis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA