Sabtu, 5 November 2016

Skandal Scorpene & Altantuya: Saya sentiasa di Malaysia, kata Razak Baginda

Razak berkata, beliau menghabiskan lebih banyak masa di Malaysia berbanding luar negara.
razak
PETALING JAYA: Abdul Razak Baginda yang merupakan bekas suspek utama dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu menegur wartawan tidak melakukan penyelidikan dan jahil tentang kedudukannya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sebuah forum awam di Kuala Lumpur, kelmarin, sebagai menjawab soalan wartawan berapa lama dia sudah pulang ke Malaysia, susulan spekulasi mengatakan dia berpindah ke Amerika Syarikat.
“Ya, saya tinggal di Malaysia. Saya menghabiskan lebih banyak masa di Malaysia berbanding di luar negara. Tetapi tengoklah, anda semua tidak melakukan penyelidikan anda. Saya sentiasa di Malaysia,” katanya yang dipetik Malaysikini.
Razak dibebaskan Mahkamah Tinggi pada 2008 daripada dakwaan bersuhabat membunuh model Mongolia berusia 28 tahun itu dengan menembak dan meletupkan mangsa di sebuah hutan dekat Shah Alam, pada 2006.
Razak ialah penganalisis pertahanan yang menulis ucapan bagi Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau juga adalah orang tengah kerajaan dalam pembelian 2 kapal selam Perancis, Scorpene, pada 2002.
Selepas pembebasannya, beliau menjalankan penyelidikan mengenai Islam di Universiti Oxford serta memberi ceramah mengenai politik Islam dan radikalisasi pemuda Islam.
Dua anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, disabitkan kesalahan membunuh Altantuya oleh Mahkamah Tinggi pada 2009.
Sirul kini berada di Pusat tahanan Imigresen Villawood di Sydney, manakala Azilah pula di Penjara Kajang. Kedua-duanya sudah menerima salinan pindaan terhadap penyata tuntutan dalam kes pembunuhan Altantuya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA