Jumaat, 11 November 2016

Skandal 1MDB: Saya tak pernah kerja untuk Jho Low, kata bekas pengurus bank

Yeo Jiawei berkata, dia sekadar pekerja sokongan yang akan melaksanakan keputusan bosnya.
Yeo-Jiawei-1
SINGAPURA: Bekas pengurus bank swasta Switzerland, BSI, di Singapura, Yeo Jiawei memberitahumahkamah hari ini dia tidak pernah bekerja untuk ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho yang lebih dikenali Jho Low.
Yeo ketika memberi keterangan untuk perbicaraannya berkata, dia “tidak pernah menerima 1 sen pun daripada Jho Low sebelum ini”, menurut laporan Business Times Singapura (BT).
Semalam, mahkamah dimaklumkan Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) polis di Singapura menyiasat Low berhubung satu dakwaan pengubahan wang haram dikaitkan dengan 1MDB.
Pada 1 November lalu, bekas penyelia Yeo di BSI, Kevin Swampillai ketika memberi keterangan berkata, Yeo biasanya menggelar Low sebagai “bos” dan beliau percaya Yeo bersama Low selepas meninggalkan BSI.
Yeo dibicarakan atas dakwaan menghalang proses keadilan dalam siasatan pengubahan wang haram dan rasuah 1MDB, termasuk memujuk saksi berbohong kepada polis dan memusnahkan bukti.
Yeo hari ini menafikan dia mengarahkan bekas Ketua Pengagihan Pendapatan, Samuel Goh Sze-Wei memusnahkan dokumen, apabila siasatan CAD berhubung urus niaga mereka bertukar serius.
Menurut laporan BT, Yeo memberitahu mahkamah ia “tidak adil” untuk Goh, Swampillai dan seorang lagi saksi, Jose Renato Carvalho Pinto, menyalahkan dia.

Sementara itu, The Edge Markets melaporkan Yeo memberitahu mahkamah yang struktur pertama yang dia lakukan untuk 1MDB membabitkan AS$100 juta.
Skim itu dirancang untuk SRC International Ltd, bekas anak syarikat 1MDB, untuk melabur dalam satu dana fidusiari dikenali sebagai Enterprise Emerging Market Fund (EEMF).
Yeo berkata, dana fidusiari bertujuan membolehkan pelanggannya, dalam kes ini ialah SRC, akan mengarahkan pengurus dana apa yang perlu dilakukan dengan wang dilaburkan mereka.
Dia memberitahu mahkamah yang SRC meminta EEMF melanjutkan satu pinjaman AS$100 juta kepada sebuah syarikat dikenali sebagai Blackstone, di mana pemilik benefisiarinya ialah Eric Tan Kim Loong, rakan sekutu Jho Low.
Yeo berkata, itu adalah transaksi pertama antara 1MDB dan SRC serta mendakwa dia yang memberi amaran kepada seorang kakitangan kanan BSI mengenai risiko transaksi Blackstone.
Katanya, SRC dan 1MDB adalah pelanggan rakan sekerjanya, Yak Yew Chee dan dia sekadar pekerja sokongan yang akan melaksanakan keputusan bosnya.
Dia berkata, Yak akan menyampaikan arahan daripada Low kepada Swampillai yang akan memberitahunya apa patut dilakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA