Isnin, 14 November 2016

Skandal 1MDB: Rafizi dipenjara kerana kerajaan Umno@Bn hilang pertimbangan

Lawyers for Liberty dan PKR mempertikaikan tindakan kerajaan merahsiakan laporan siasatan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.
eric-paulsen-rafizi
PETALING JAYA: Hukuman penjara 18 bulan ke atas Rafizi Ramli membendung kebebasan bersuara dan gambaran sebuah kerajaan yang menindas, legap dan tidak bertanggungjawab, kata peguam.
Eric Paulsen mengulas pensabitan Setiausaha Agung PKR itu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana memungkiri Akta Rahsia Rasmi 1972, apabila mendedahkan petikan laporan siasatan Ketua Audit Negara ke atas dakwaan penyalahgunaan dana Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang dikaitkan dengan kontroversi 1Malaysia Development Berhad.
“Kerajaan pada hari ini dan zaman ini tidak boleh berselindung sebalik ‘rahsia rasmi’,” kata Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty itu dalam satu kenyataan hari ini.
“Hukuman penjara 18 bulan itu boleh dianggap melampau, kerana Rafizi sekadar menjalankan tugasnya selaku wakil rakyat.”
Paulsen menjelaskan pihaknya faham maklumat keselamatan negara dan pertahanan perlu dilindungi sebagai rahsia rasmi, tetapi Rafizi cuma mendedahkan dakwaan salahguna kuasa atau rasuah.
“Mengadu bukan jenayah yang perlu dihukum terutamanya dalam kes ini kerana perkara yang didedahkan Rafizi itu melibatkan kepentingan orang ramai,” kata Paulsen.
Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pemenjaraan wakil rakyatnya yang membangkitkan isu berkepentingan awam sesuatu yang menyedihkan buat demokrasi di negara ini.
Beliau menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya “menunjukkan keberanian” dan mengeluarkan laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB daripada pengkesalan rahsia rasmi.

“Keengganan Putrajaya untuk mengeluarkan laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dari klasifikasi Rahsia Rasmi hanya akan mengukuhkan persepsi sebuah kerajaan kleptokrat yang tidak mahu kebenaran diketahui umum,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Rafizi akan merayu hukuman mahkamah. Peguamnya Gobind Singh Deo berkata ahli Parlimen PKR itu tidak akan hilang kerusi Pandan kerana masih ada peluang untuk merayu.
Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan kehilangan hak seseorang sebagai ahli Parlimen yang dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada 1 tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA