Selasa, 8 November 2016

Skandal 1MDB: Pegawai bank bermewah, mula angkuh selepas jadi orang Jho Low

Mahkamah diberitahu, Yeo membuatkan Amicorp mengeluarkan invois berjumlah lebih RM5 juta bagi 27 tiket perlawanan tinju Manny Pacquiao di Las Vegas kepada Jho Low dan beberapa selebriti.
Jho-LowPETALING JAYA: Mahkamah di Singapura yang membicarakan bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei, diberitahu beliau menikmati gaya hidup mewah siap dengan kapal persiaran selepas mula bekerja dengan ahli perniagaan kontroversi Malaysia Low Taek Jho, atau Jho Low, lapor The Straits Times (ST).
Seorang pekerja firma kewangan Amicorp Group, Jose Renato Carvalho Pinto, ketika memberi keterangan saksi, berkata Yeo – individu utama dalam dakwaan pengubahan wang haram dikaitkan dengan 1MDB – menjadi “perunding dan penasihat” kepada Low dan Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny, bekas pegawai tinggi Abu Dhabi International Petroleum Investment Co (IPIC).
Carvalho memberitahu mahkamah, hubungan Yeo dengan Low begitu rapat sehingga beliau dapat menaiki jet peribadi dan kapal mewah milik Low, Equanimity, dalam perjalanan ke Caribbean untuk urusan perniagaan.
Yeo tinggal di resort 5 bintang Sandy Lane, iaitu antara hotel paling mewah di Barbados, kata Carvalho.
Beliau mendakwa Yeo membuatkan Amicorp mengeluarkan invois berjumlah AS$1.36 juta (RM5.72 juta) bagi 27 tiket perlawanan tinju Manny Pacquiao di MGM Grand Las Vegas kepada Low, Al-Husseiny dan beberapa lagi selebriti.
Tiket paling murah berharga AS$30,000 (RM126,296) manakala paling mahal AS$75,000 (RM315,740), katanya.
Carvalho berkata Yeo meminta Amicorp menambah nilai sekurang-kurangnya sebanyak AS$1 juta ke dalam kad keahlian kasino Las Vegas milik Low dan kawan rapatnya, Eric Tan Kim Loong.
Katanya, Yeo “semakin sombong dan kasar”, dan memanggil beberapa kakitangan, termasuk Samuel Goh Swe Wei, Kelvin Ang dan ketua pegawai kewangan 1MDB, Terence Geh sebagai “pegawai rendah”.
Yeo berhadapan 4 tuduhan mendesak saksi menipu kepada polis dan memusnahkan bukti ketika dilepaskan dengan ikat jamin selepas ditahan 17 Mac lalu dalam kes pengubahan wang haram.
Al-Husseiny yang kini disiasat atas kesalahan di Switzerland adalah ketua eksekutif syarikat di bawah IPIC, Aabar Investments, dan bekas pengerusi Falcon Bank, yang ditarik lesennya oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) bulan lalu.
Salah satu sebab penutupan Falcon kerana konflik kepentingan ketika menguruskan akaun pelanggan yang mempunyai kaitan dengan Al-Husseiny.
MAS berkata Al-Husseiny menipu cawangan Falcon di Singapura untuk memproses “transaksi besar yang luar biasa”, walaupun dengan beberapa kali amaran.
Carvalho yang memberi keterangan di hari kelima perbicaraan berkata, berkata Amicorp diminta oleh Yeo untuk menubuhkan unit amanah dan akaun bank kepada beberapa entiti termasuk kepada Low dan keluarganya.
IPIC setakat ini menafikan memiliki Aabar BVI, yang didakwa menerima AS$3.5 bilion daripada 1MDB.

Yeo didakwa memberitahu Carvalho yang selepas meninggalkan BSI, beliau bekerja sebagai perunding kepada Aabar dan Al-Husseiny dan “menerima bayaran 5% bagi setiap invois kepada Aabar”.
Beliau juga berkata, Yeo mendakwa beliau akan bekerja dengan syarikat dana yang menjadi sebahagian daripada “urusan sulit tahap tinggi antara dua kerajaan melibatkan Malaysia dan Arab Saudi”.
Carvalho kemudian mendapati syarikat yang dimaksudkan itu adalah 1MDB dan SRC International yang ditubuhkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Saya ingat Amicorp ditipu oleh Yeo yang mereka cerita tentang urusan ‘kerajaan dengan kerajaan’ antara negara agar dapat meraih bayaran referal,” katanya, dipetik ST.
Sebelum ini, bekas ketua agensi pengagihan NTUC Income Samuel Goh memberi keterangan yang beliau menerima lebih AS$4 juta untuk peranannya bersama-sama Yeo dalam dakwaan pembayaran kepada syarikat kosong berkaitan 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA