Isnin, 14 November 2016

Skandal 1MDB: Mengapa Bank Negara membisu mengenai kakitangan AmBank

Ketika pihak berkuasa Singapura menghukum kakitangan bekas bank BSI, Tony Pua mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap dakwaan pengubahan wang berkaitan 1MDB
tony-pua
PETALING JAYA: Mengikuti tindakan pihak berkuasa kewangan Singapura terhadap pengurus bank yang terbabit dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tony Pua bingung mengapa Bank Negara membisu mengenai kakitangan AmBank.
Kebingungan itu susulan dakwaan Wall Street Journal (WSJ) terhadap AmBank dan 2 pegawainya pada 6 September lepas, berhubung memudahkan dan bersubahat dalam penggubahan wang apabila berbilion ringgit disalurkan kepada akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Di Singapura, bekas pengurus bank Yak Yew Chee, yang berurusan dengan peniaga Malaysia Low Taek Jho (Jho Low) dan 1MDB, dipenjara 18 minggu dan didenda S$24,000 (RM73,280) kerana memalsukan surat sokongan untuk keluarga Jho dan gagal melaporkan transaksi mencurigakan mebabitkan puluhan juta dolar yang melalui Bank BSI di Singapura.
“Yew Chee juga diarah menyerahkan S$7.5 juta (RM22.9 juta) kepada kerajaan Singapura bagi sebagai bukti dia menyesali perbuatannya,” kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu.
Selain Yew Chee, Tony berkata seorang lagi bekas pengurus bank, Yeo Jiawei, sedang dibicarakan atas 4 dakwaan menghalang undang-undang dilaksanakan dan 7 pendakwaan pengubahan wang, penipuan dan pemalsuan yang juga berkaitan dengan Jho dan skandal 1MDB.
“Pada 31 Oktober saya meminta menteri kewangan nyatakan tindakan yang diambil Bank Negara terhadap pengurus bank AmBank, Joanne Yu dan Cheah Tek Kuang yang didakwa melindungi transaksi pengubahan wang yang dihaitkan kepada 1MDB.
“Dalam jawapan bertulisnya, Najib seolah mengiyakan semua dakwaan itu dengan menjawab Bank Negara sudah menjalankan siasatan ke atas institusi kewangan berkaitan 1MDB di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001. Berdasarkan hasil siasatan, tindakan penguatkuasaan sudah dilaksanakan Bank Negara mengikut kuasa yang ada padanya di bawah undang-undang.
“Bagaimanapun, kita tidak dimaklumkan apa tindakan yang sudah diambil terhadap AmBank atau pegawai bank yang memudahkan transaksi haram itu.
“Setakat yang kita tahu, Joanne dan Tek Kuang masih bebas,” kata Tony, dan menambah Tek Kuang kekal sebagai penasihat kepada pejabat pengerusi di AmBank, selain menjadi pengerusi Berjaya Sports Toto dan pengarah bebas di Kumpulan IOI.

“Jadi, sekiranya benar Bank Negara sudah mengambil tindakan terhadap Tek Kuang atas kesalahan pengubahan wang, bolehkah Tek Kuang masih menjadi pengerusi dan pengarah di syarikat-syarikat tersenarai awam?”
Menurut Tony, WSJ dan laporannya turut mendakwa perbualan antara didakwa berlaku antara pegawai kanan AmBank dan Jho yang menunjukkan Jho melakukan transaksi itu bagi pihak perdana menteri.
“Perdana Menteri beri akses akaun miliknya kepada Jho, menurut dokumen siasatan yang dilihat WSJ. Hubungan utama Jho di AmBank adalah Joanne, iaitu pengurus bank yang diberi amaran secara berhati-hati melalui BlackBerry. Tek Kuang, seorang eksekutif kanan di AmBank dan penasihat kepada pengerusinya, menguruskan akaun itu, menurut mesej BlackBerry,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.
Menurut Tony, komunikasi itu dan yang lain seperti yang dilaporkan WSJ jelas menunjukkan ada konspirasi untuk melindungi transaksi itu daripada diteliti, atau menampakkan transaksi haram itu seolah transaksi yang sah.
“Kebisuan Gabenor Bank Negara dan keberatan untuk bertindak ke atas skandal pengubahan wang itu hanya mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai negara kleptokrasi dunia,” kata Tony.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA