Khamis, 3 November 2016

Skandal 1MDB: Bekas pegawai bank BSI guna telefon ‘Bangla’ simpan rahsia

Dalam perbicaraan pertama kes itu di Singapura, saksi berkata mereka juga mendapat jutaan untung rahsia hasil urus niaga dengan 1MDB.
bsi
SINGAPURA: Seorang saksi memberitahu mahkamah di sini semalam bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei yang sedang dibicarakan dalam kes berkaitan skandal 1MDB, sebelum ini menggesanya menggunakan telefon “Bangla” supaya perbualan mereka tidak boleh dikesan.
Kevin Swampillai dalam keterangannya sebagai saksi pendakwa berkata Yeo yang juga bekas penyelianya turut menggunakan telefon “Bangla” – telefon bimbit milik pekerja pembinaan yang sudah meninggalkan Singapura.
“Saya juga ada minta dia dapatkan saya satu (telefon), tapi dia kata susah dan cadangkan saya cari sendiri, beli kad sim atau telefon kedua supaya komunikasi kami rahsia,” katanya dipetik daripada Straits Times Singapura (ST).
Mereka juga menggunakan teks rahsia dalam komunikasi di Telegram untuk mengelak dikesan selepas Jabatan Hal Ehwal Komersial memperhebatkan siasatan terhadap urus niaga mereka dengan 1MDB pada Oktober tahun lalu.
Butiran terperinci bagaimana mereka cuba mengelak dikesan menggunakan telefon itu terbongkar pada hari ketiga perbicaraan Yeo yang berdepan 4 pertuduhan kerana memutarbelitkan proses keadilan dengan memujuk saksi berbong kepada polis dan memusnahkan bukti.
Dia juga berdepan pertuduhan pengubahan wang haram, menipu dan pemalsuan tetapi kes berkenaan akan dibicarakan di mahkamah berasingan tahun depan.
Akhbar itu melaporkan, Kevin dalam keterangannya berkata Yeo, 33, meletak jawatan di BSI, bank persendirian Switzerland itu untuk menyertai taikun Malaysia, Jho Low selepas mendapat tawaran gaji $500,000 setahun.
Bagaimanapun, peguam Yeo membantah keterangan itu dan berkata anak guamnya tidak mendapat tawaran kerja daripada Jho Low.
Kevin, 52, sebelum ini ialah ketua perkhidmatan pengurusan harta BSI sebelum digantung dan kini masih belum bekerja.
Saksi memberitahu mahkamah dia merangka pelan untuk membuat “fi pengurusan besar” daripada penubuhan syarikat dana yang akan menguruskan keuntungan daripada urus niaga dengan Brazen Sky, yang dimiliki sepenuhnya oleh 1MDB.
“Idea itu datang daripada saya tetapi Yeo sangat menyokongnya dan bersama saya dalam perbincangan itu,” katanya seperti dilaporkan ST.
Katanya, mereka mendapat berjuta “keuntungan rahsia” daripada urus niaga 1MDB dan mereka menubuhkan “shell company” Bridge Partners International Management (BPIM) dan Bridge Global Managers untuk menerima “keuntungan rahsia” itu yang akan disalurkan ke syarikat kawalan mereka.

Pada September 2012, 1MDB menjual sahamnya dalam satu usaha sama sebanyak AS$2.32 bilion dan menerima unit di BPIM.
1MDB sebelum ini berkata unit itu dimiliki oleh Brazen Sky dan dipegang menerusi BSI di Singapura sebagai penjaga.
Saksi berkata urusan “fi rujukan” wujud daripada penggabungan kerjasama itu membabitkan yuran pengurusan dibayar oleh Brazen Sky kepada BPIM masuk ke syarikat dikawalnya bersama Yeo.
“Yeo yang beri idea untuk mewujudkan syarikat pengantara di antara syarikat kami dan Bridge Partners dan saya sokong, untuk menambah lebih banyak lapisan keselamatan,” katanya kepada mahkamah.
Jika didapati bersalah sengaja memutarbalikkan proses keadilan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 7 tahun dan didenda.
Perbicaraan dijadual berlangsung selama 9 hari, hingga 7 November.
Pada Mei lalu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengarahkan bank Swiss itu menutup pejabat di Singapura kerana “pelanggaran serius syarat anti pelaburan wang haram, kelalaian pengurusan yang serius terhadap operasi bank, dan salah laku serius kakitangan bank itu”.
MAS juga merujuk 6 ahli pengurusan kanan dan kakitangan bank di Singapura itu kepada pendakwa raya. Setakat ini, 3 termasuk Jiawei sudah didakwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA