Selasa, 1 November 2016

Skandal 1MDB: Bekas pegawai bank BSI mula dibicara di Singapura

Ia perbicaraan pertama berkaitan siasatan terhadap dana 1MDB yang kini menjangkaui 6 bidang kuasa, termasuk Switzerland dan Amerika Syarikat.
Yeo-JiaweiSINGAPURA: Pihak pendakwa memanggil 9 saksi dengan pegawai perancang kekayaan bank BSI, Yeo Jiawei, orang pertama dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atas peranannya dalam pengubahan wang berkaitan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), semalam.
Berita Harian Singapura melaporkan Timbalan Pendakwa Raya Tan Kiat Pheng dalam kenyataan pembukaannya berkata kes itu “paling canggih dan kes pengubahan wang terbesar dikendalikan Jabatan Ehwal Komersial” yang melibatkan pergerakan banyak wang di antara negara dalam beberapa tahun.
Jiawei dibicarakan kerana memutarbalikkan proses keadilan dengan mempengaruhi saksi utama, menggesa mereka berbohong dan memusnahkan bukti.
Tertuduh dibicarakan atas 4 dakwaan kerana memutarbalikkan proses keadilan. Manakala 7 lagi tuduhan melabur wang haram, menipu dan pemalsuan sedang menunggu dikenakan terhadapnya.
Tertuduh ditangkap pada Mac lalu kerana disyaki melakukan pelaburan wang haram dengan pendakwa berkata dia memainkan peranan penting dalam melaburkan “jumlah besar” dan dalam proses itu, meraih wang S$26 juta.
Ia perbicaraan pertama berkaitan siasatan terhadap dana 1MDB yang kini menjangkaui 6 bidang kuasa, termasuk Switzerland dan Amerika Syarikat.
Beritamediacorp melaporkan selepas tertuduh berusia 33 tahun itu dibebaskan dengan ikat jamin pada Mac, dia dipercayai menghubungi 3 saksi utama dan meminta mereka berbohong kepada polis untuk melindunginya dan firmanya, Bridgerock Investment.
Pada satu pertemuan pada 27 Mac di Swiss Club di Singapura, Jiawei dikatakan meminta Kevin Michael Swampillai – ketika itu pengarah khidmat pengurusan harta BSI untuk berbohong kepada polis wang disalurkan Samuel Goh Sze-Wei kepada Bridgerock Investment dan GTB Investment merupakan pelaburan sah.
Pendakwa raya berkata wang itu sebenarnya dicuri dari bank BSI dan seorang pengurus dana yang tidak dinamakan dan disalurkan ke dalam Bridgerock Investment dan GTB Investment – syarikat dimiliki Jiawei dan Swampillai.
Dalam pertemuan sama, tertuduh dipercayai meminta Goh berbohong kepada polis wang yang disalurkan itu sebenarnya adalah pelaburannya.

Selain penglibatannya dalam kes itu sebagai kakitangan BSI, tertuduh juga terbabit dalam urus niaga haram secara sendiri dan dipercayai menggunakan Amicorp Group untuk memudahkan urusan itu.
Pada Mac lalu, Jiawei dipercayai meminta Jose Renato Carvalho Pinto, seorang kakitangan Amicorp Group, membuang komputer ribanya kerana mengandungi bukti urusan dengan Amicorp Group.
Dia juga meminta Pinto jangan ke Singapura, kerana khuatir beliau akan disoal Jabatan Ehwal Komersil (CAD).
Jika didapati bersalah sengaja memutarbalikkan proses keadilan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 7 tahun dan didenda.
Perbicaraan dijadual berlangsung selama 9 hari, hingga 7 November.
Pada Mei lalu, Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengarahkan bank Swiss itu menutup pejabat di Singapura kerana “pelanggaran serius syarat anti pelaburan wang haram, kelalaian pengurusan yang serius terhadap operasi bank, dan salah laku serius kakitangan bank itu”.
MAS juga merujuk 6 ahli pengurusan kanan dan kakitangan bank di Singapura itu kepada pendakwa raya.
Setakat ini, 3 termasuk Jiawei sudah didakwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA