Isnin, 28 November 2016

Silat Jamal, kuntau Tajuddin dan pencak Hadi

November 2016 sesuai benar dikenang-kenang sebagai bulan silat.
Secara khusus ia bermula pada 5 November apabila kumpulan Baju Merah berkumpul dan berarak - sejauh kira-kira 30 meter - ke bangunan berhampiran pejabat Malaysiakini.
Tidaklah kumpulan Baju Merah itu bersilat sambil berarak ke pejabat portal ini. Mereka berpencak silat di tepi jalan berhampiran pondok pengawal.
Nasib tidak baik juga mereka - yang dikatakan Jamal seramai 10,000 orang - tidak terfikir bersilat sambil berarak ke pejabat Malaysiakini.
Jika tidak, tentu ia menjadi detik yang sangat menarik dan unik untuk dirakam apabila Baju Merak mempelopori seni protes menyerupai perarakan pengantin.
Untuk tujuan gambar dan publisiti memang menariklah jika anak buah Datuk Seri Jamal Md Yunos itu bergerak serentak dan seirama - sambil menutup muka - ketika melakukan tunjuk perasaan.
Barangkali itu namanya tunjuk perasaan berbudaya Melayu asli.
Kemudian Baju Merah mempamerkan kehebatan mereka lagi beberapa hari menjelang BERSIH5.
Jika berhampiran pejabat Malaysiakini mereka memecahkan batu konkrit dengan kepala dan mematahkan batang kayu dengan memukul badan sendiri, ketangkasan dan kehebatan itu naik setingkat lagi.
Silat dalam kompleks beli-belah
Kali ini mereka menggunakan kayu berbara dan pedang. Malah Jamal sendiri menunjukkan kehebatan dan kekebalan sesuai dengan tubuh sasanya.
Ketua Umno Sungai Besar itu membuktikan belakang tubuhnya adalah sekeras besi apabila kayu yang dihempukkan ke situ akhirnya patah.
Nasib baik juga kaki orang berbaju hitam dan bertopeng itu tidak patah selepas menendang belakang Jamal.
Kemudian Sabtu berikutnya - 12 November - geng Baju Merah bersilat lagi. Kali ini berhampiran Dataran Maybank di Jalan Bangsar.
Namun daripada peristiwa yang berlaku membabitkan Jamal dan Baju Merahnya, 'silat' paling klasik berlaku sehari kemudian.
Bertempat di Ampang Jamal berpencak dan penyokongnya berpencak di dalam kompleks beli-belah Ampang Point. Rakaman video menunjukkan Jamal seperti mendakwa dia ditumbuk anggota polis tetapi kemudian menafikannya.
Darah Jamal 'tumpah' dan dia mendakwa menjadi mangsa pengikut Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.
Sehari sebelum BERSIH5, polis pula memulakan langkah 'silat' mereka dengan menahan Jamal dan orang kanannya. Maka tinggallah anak buah Jamal - Datuk Armand Azha Abu Hanifah - untuk membuktikan silatnya juga tidak kalah hebatnya untuk mengepalai anak-anak muda berarak ke Padang Merbok.
Cuma selepas itu silat Armand Azha 'tawar' apabila dia juga ditahan polis dan direman selepas perhimpunan BERSIH5 berakhir pada 19 November.
Selang sehari kemudian Anggota Parlimen Pasir Salak pula berpencak di dalam Dewan Rakyat. Sebagai wakil rakyat bagi kawasan yang pernah menyaksikan J W W Birch ditikam, tentulah semangat pahlawan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mudah benar dapat disaksikan.
Di Dewan Rakyat Tajuddin seolah-olah menikam hati dan perasaan ramai wanita - terutama Teresa Kok.
Herdikan 'pejuang' Pasir Salak
Namun jangan sangka Tajuddin menjadi musuh majoriti wanita. Menurut timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu, masih ramai wanita menyayangi beliau, termasuk "yang tua dan muda" di Pasir Salak iaitu kawasan yang diwakilinya.
Kok mungkin memiliki kemahiran kuntau tersendiri namun ia tidak menghalang Khalid Samad (AMANAH-Shah Alam) untuk bangkit sebagai 'pembela'.
Maka bersilat pulalah Khalid dengan Tajuddin. Silat dengan lidah itu kemudian berjangkit ke pencak menggunakan surat peguam.
Cuma yang kurang sedap ialah, tempias pertarungan seni bela diri itu terkena pula pada wartawan.
Pada 24 November persembahan seni silat itu bebar-benar berlaku di pekarangan parlimen. Di lokasi yang sepatutnya selamat dan dikawal rapi 'pejuang' Pasir Salak tiba dan mengherdik Khalid.
Salah seorang daripada mereka yang hadir ialah anak Tajuddin sendiri. Di mana Tajuddin semasa kekecohan itu berlaku? Tidak dapat dipastikan, tetapi adakah ia aneh?

Pada November 1874 Birch dilantik sebagai residen British pertama di Perak dan tugasnya adalah mengutip cukai serta mentadbir negeri itu.
Yang terancam dan tergugat ialah golongan bangsawan seperti Datuk Maharajalela, Ngah Ibrahim, Datuk Sagor. Maka tugas menghabiskan Birch diserahkan kepada Siputum dan Pandak Indut.
Pengikut yang taat itulah bertanggungjawab merejam lembing ke tubuh Birch.
Namun cerita silat pada November 2016 tidak berakhir di situ saja. Pada hari terakhir sidang Dewan Rakyat, satu lagi silat dipersembahkan.
Lebih menarik silat pada 24 November itu dihidangkan dengan jurus Islamik. Maklumlah, langkah itu dibuka dalam gelanggang yang dibacakan manteranya oleh PAS.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai naib ketua Kesatuan Ulama Sedunia mendapat kebenaran kerajaan membentangkan usul pindaan kepada Akta 355 berkaitan bidang kuasa mahkamah syariah.
Namun usul pindaan itu sendiri mengalami pindaan selepas mendapat pandangan daripada pelbagai pihak termasuk wakil BN beragama Islam yang bertemu - atas jemputan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Kali kedua usul itu dilafazkan untuk pembentangan di Dewan Rakyat Abdul Hadi kemudian memohon huraian mengenainya dibuat pada sesi sidang akan datang.
“Walaupun rang undang-undang ini khas untuk (umat) Islam sahaja, masih ada pertikaian dan perbahasan di luar.
“Oleh itu saya pohon untuk buat huraian pada sesi akan datang,” katanya.
Demi kemaslahatan ummah
Ia pun sejenis 'silat' juga. Ia pencak yang menduga. Sesuai benarlah dengan imej PAS seperti dipamerkan mereka pada muktamar lalu - bertengkolok, bersampin dan berkeris bagai.
Panjang keris memotong pulut kuning di Kota Bharu itu bagaikan simbol kepada panjangnya strategi dan akal PAS membawa idea untuk memperkasa mahkamah syariah mengikut tafsiran mereka.
Dan benar juga kata-kata Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah seperti dilaporkan media rasmi parti itu, Harakahdaily, pada 24 November.
Kata Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan, PAS "bersedia pada bila-bila masa" untuk membentang pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 bagi bacaan kali kedua "sekiranya diberi laluan".
Kata kunci kepada kenyataan itu ialah "pada bila-bila masa". Justeru tindakan Abdul Hadi menunda pembentangan dan huraiannya pada masa lain masih tetap terletak di bawah skop "pada bila-bila masa".
Langkah itu dilihat pihak yang tidak senang dengan gerak PAS sebagai pencak menghadapi pilihan raya umum. Kata Datuk Husam Musa, berpendapat langkah 'silat' Abdul Hadi itu petanda parlimen akan dibubarkan pada suku pertama 2017.
Namun Zahid segera mengingatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat andaian terhadap usul Abdul Hadi itu.
Menurut timbalan perdana menteri sebarang langkah ke arah penerimaan usul Abdul Hadi memerlukan beberapa langkah lain dan sama sekali tidak dapat dilaksanakan pada persidangan lalu.
Ahmad Zahid berkata jika usul itu diterima sekalipun, langkah seterusnya ialah bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan perbincangan dengan semua parti, bukan saja komponen BN.
Bagaimanapun untuk keselamatan dan kemaslahatan ummah lebih baik kita jangan terlalu memperkatakan usul berkenaan. Bimbang juga kita kalau-kalau menjadi Ahok.

Al-Abror Mohd Yusuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA