Rabu, 9 November 2016

SIKAP PENGUNDI AMERIKA YANG HARUS KITA CONTOHI KEBERANIANNYA

Tidak ramai yang suka dengan Donald Trump. Berwatak keras, suka cakap lepas, ada sejarah buruk terhadap wanita, anti Asia, anti Islam dan pelbagai  ketidakwajaran lainnya, banyak yang tidak mahukan beliau menjadi Presiden Amerika Syarikat.

Lebih-lebih lagi pesaingnya, Hillary Clinton bukan calang-calang ketokohannya. Pernah menjadi First Lady ketika suaminya, Bill Clinton menjadi Presiden Amerika dan kemudian menjadi Setiausaha Negara ketika tempoh awal kepresidenan Barack Obama, ramai penganalisis antarabangsa meramalkan beliaulah yang paling layak memimpin Amerika selepas ini.

Namun Trump dari Republikan akhirnya mengejutkan dunia. Beliau diisytiharkan menang dan akan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke 45 sebaik berjaya mencecah perolehan 279 undi berbanding Hillary, calon Demokrat sebanyak 218 undi pada petang tadi.

Kemenangan Trump hakikatnya tidak banyak mengubah dasar Amerika. Amerika tetap Amerika.  Sikap anti dan curiga kepada orang luar dan Islam tetap ada, cuma barangkali dalam bentuk yang berbeza. 

Trump mungkin terlalu berterus-terang memusuhi orang luar, anti Islam dan mahu membina tembok tinggi di sempadan Mexico bagi menghalang kemasukan pendatang, namun Clinton juga sebenarnya tidak jauh berbeza isi hatinya.

Tetapi ada beberapa aspek yang diharap memberi kebaikan kepada kita dengan kemenangan Trumph ini. Trump sebelum ini mengatakan mahu memansuhkan TPPA dan jika kita selama ini merasakan perjanjian itu banyak merugikan negara, terutamanya dari segi peningkatan harga ubat-ubatan dan ketidakmampuan syarikat tempatan besaing dengan syarikat-syarikat besar Amerika, kemenangan beliau sekurang-kurangnya diharapkan ada kebaikannya dari aspek tersebut.

Selain itu, Trump juga seorang yang praktikal, tegas dan keras. Dengan yang demikian, kita tentunya boleh berharap saman Jabatan Kehakiman Amerika berkaitan 1MDB akan dipercepatkan dan kita sama-sama dapat mengetahui kebenaran tentang wang kita yang didakwa disonglap dan dibelanjakan sesuka hati di sana.

Namun, yang paling penting ialah kemenangan beliau itu menunjukkan bagaimana besarnya kuasa pengundi dalam melakukan perubahan di Amerika. Tanpa memperdulikan pelbagai imej buruk yang cuba digambarkan kepada Trump, rakyat Amerika tidak terpikat untuk terus mengekalkan Demokrat menguasai Rumah Putih, sebaliknya lebih ghairah untuk memilih Republikan atas kepercayaan bahawa penggiliran parti mungkin lebih mampu memberi kebaikan kepada mereka.

Begitulah sejarahnya Amerika, sentiasa mudah bertukar ganti parti menguasai Rumah Putih.

Sebelum Obama, Presiden Amerika ialah George W Bush (Republikan) antara 2001-2009, Bill Clinton (Demokrat)  antara 1993-2001, George H W Bush  (Republikan) antara 1989-1993, Ronald Reagan (Republikan)  antara 1981-1989, Jimmy Carter (Demokrat) antara 1977-1981 dan begitulah penggiliran yang berlaku.

Setelah Obama menguasai Rumah Putih selama dua penggal dan ingin meneruskan penguasaan melalui Clinton, rakyat Amerika nyata lebih mahukan Republikan mengambil alih.

Sikap dan keberanian pengundi Amerika inilah yang seharusnya menjadi contoh ikutan kepada rakyat Malaysia. Tanpa ada skandal besar seperti 1MDB dan kemasukan berbilion wang ke dalam akaun peribadi sesiapapun, iltizam menukar parti  mereka tetap tinggi.

Tidak malu dan terasa lekehkah kita, di sebalik skandal beribu juta dan menjadi cecehan seantero dunia, tetapi masih mahu juga mengekalkan parti yang sama sejak sekian lama?

Untuk itu, setidak-tidaknya kita boleh tersenyum dengan kemenangan Trump ini walaupun selama ini kita hanya menonton wajahnya di kaca televisyen saja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA