Ahad, 6 November 2016

Sikap Pas terhadap Bersih 5 rugikan parti


Mohammad Nizar JamaluddinMohammad Nizar JamaluddinPendirian Pas yang enggan menyertai Himpunan Bersih 5 merugikan parti Islam itu sendiri, kata Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau berkata, himpunan berkenaan boleh dijadikan platform kepada Pas untuk meraih kembali kepercayaan rakyat terutama orang bukan Islam.
"Jadi, kalau Pas tak mahu ikut serta, ini satu peluang yang mereka telah lepaskan.
"Platform Bersih 5 itu boleh dijadikan sebagai tempat untuk membersihkan nama baik Pas, Pas dapat kembali ke pangkuan rakyat dan orang bukan Islam juga akan menghormati Pas semula," katanya ketika ditemui di Konvensyen Pakatan Harapan Perak di Ipoh hari ini.
Nizar yang juga ketua pembangkang Dun Perak dalam ucapannya sebelum itu mengisytiharkan sokongan penuh Pakatan Harapan terhadap perhimpunan Bersih 5 pada 19 November ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Pas tidak akan menyertai Bersih 5 walaupun sedia bekerjasama dengan parti pembangkang bagi menghadapi PRU14.

Beliau turut mengingatkan bahawa parti itu tidak akan mengikut telunjuk mana-mana pihak semata-mata bagi meraih keuntungan politik.
Mengulas lanjut, Nizar berkata rakyat boleh menilai sendiri tahap keseriusan Pas untuk bersama pembangkang menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Tuan Ibrahim itu.
"Mula-mula mursyidul am dan presiden mereka kata nak kerjasama. Tiba-tiba timbalan presiden kata sebaliknya. Inilah sikap was-was yang ada Pas hingga rakyat hilang kepercayaan pada mereka," katanya yang juga Adun Changkat Jering.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA