Ahad, 20 November 2016

SIAPA KITA – NAJIB REGIM ATAU RAKYAT? ‘GST-LAH YANG MENYELAMATKAN KITA’ – RAHMAN DAHLAN


KUALA LUMPUR – “Keadaan ekonomi negara yang mencabar pada masa ini sehingga meningkatkan kos sara hidup rakyat adalah disebabkan oleh faktor luaran dan bukannya faktor dalaman,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Menurutnya, parti politik dan kerajaan yang ada tidak akan bertindak memberikan kesengsaraan seperti itu kepada rakyat kerana ia akan mengurangkan sokongan mereka.
“Kita faham dan kerajaan bertindak balas mengikut kemampuannya dalam  keadaan ekonomi yang agak bercelaru dari segi cabarannya.
“Keadaan ini terpaksa diterjemahkan kepada pengurangan subsidi ataupun penstrukturan semula subsidi dan ini adalah respons kita kepada faktor luaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menjadi speaker Sesi Pertama: Diskusi Ekonomi pada Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah (K-PAU) 2.0 yang dipengerusikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Irmohizam Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Terdahulu dalam sesi soal jawab diskusi itu, Abdul Rahman berkata, hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjaya menyelamatkan kewangan negara ekoran penurunan harga minyak di pasaran dunia sejak 2014.

Menurutnya, pendapatan negara daripada penjualan minyak kira-kira RM40 bilion menurun separuh ekoran kejatuhan harga minyak.
“Bayangkan anda kehilangan separuh daripada gaji anda setiap bulan tanpa notis dan pemberitahuan awal. Itulah yang berlaku ekoran penurunan harga minyak.
“GST lah yang telah menyelamatkan kita dan sejarah negara kita akan memberikan satu pujian kepada kepimpinan parti kita kerana berani untuk mewujudkan GST,” katanya.
Konvensyen ini akan memperhalusi usul bagi Perhimpunan Agung Umno (PAU) tahun ini daripada 691 usul yang telah dibincang dan dipersetujui di pelbagai peringkat parti sebelum ini.
Kesemua usul yang dirumuskan kemudiannya akan disalurkan kepada kluster usul untuk dibahaskan pada PAU nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA