Sabtu, 26 November 2016

SETIA 101%, ADAKAH ZAHID HAMIDI MULA BERASA TIDAK DIPERCAYAI?


Ahmad Zahid Hamidi yang baru-baru ini mengusulkan agar Perlembagaan UMNO dipinda untuk memaktubkan jawatan Pemangku Timbalan Presiden yang sudah tentu dengan maksud agar jawatan itu mesti disandang oleh Naib Presiden yang mempunyai undi tertinggi,  kini tiba-tiba menegaskan kesetiaannya kepada Najib Razak adalah 101 peratus.
Kata Timbalan Perdana Menteri itu, beliau setia 101 peratus kepada Najib dan sentiasa bersedia untuk membantu Perdana Menteri dan Presiden UMNO dalam kerajaan dan juga parti.
Dalam waktu yang sama, Zahid juga berkata, beliau tidak memikirkan soal jawatan, sebaliknya berserah kepada ketentuan Allah dalam menentukan perjalanan kejaya politiknya.
“Saya hanya makan di pinggan yang ada di depan saya, nasi dan lauk yang dihidangkan kepada saya saja. Saya tidak akan pergi ke meja lain untuk mengambil lauk dan nasi, walaupun nasi dan lauk di pinggan saya tidak cukup.
“Ertinya saya akan berada di suatu keadaan di mana saya harus hormati institusi yang ada, dan jika berlaku ia adalah mengikut ketentuan Allah,” ujar Zahid berfalsafah.
Mengapa tiba-tiba saja Zahid menyatakan kesetiaannya kepada Najib adalah 101 peratus?
Tidakkah ia ternampak berlebih-lebihan untuk menunjukkan bahawa beliau seorang yang benar-benar setia kepada Najib?
Mengapa Zahid tidak mengatakan kesetiaannya hanya mutlak 100 peratus saja?

Bolehkah dipercayai sepenuhnya orang yang menyatakan kesetiaan secara berlebih-lebihan itu?
Jika diumpamakan seperti gelas, mengisi air sehingga 101 peratus bermakna melebihi muatan dan pasti akan menyebabkan ia melimpah serta akhirnya mengotorkan meja makan?
Jadi, apa maksud Zahid dengan  setia 101 peratus itu – pernyataan rasa bimbang kehilangan jawatan atau cuba-cuba memberi amaran?
Selain itu, apakah Zahid mula merasakan dirinya semakin kurang dipercayai oleh Najib sehingga perlu mencetuskan idea mahu jawatan Pemangku Timbalan Presiden UMNO segera dimaktubkan dan kemudian berlindung pula dengan kesetiaan yang digembar-gemburkan sehingga 101 peratus bertujuan untuk memastikan kedudukannya lebih selamat?
Kenapa sehingga ini Najib dan Hishammuddin yang merupakan Naib Presiden UMNO dengan undi nombor tiga masih tidak memberi apa-apa reaksi berhubung cadangan mahu memaktubkan jawatan Pemangku Timbalan Presiden itu?
Setujukah dua saudara sepupu itu terhadap usul yang mahu dicadangkan Zahid?
Sementara Zahid mengatakan beliau tidak akan pergi ke meja lain untuk mengambil nasi dan lauk, walaupun nasi dan lauk di pinggannya tidak cukup, tidakkah cadangan meminda Perlembagaan yang dicetuskannya itu menunjukkan beliau juga “teringin”  kepada nasi dan lauk di pinggan lain yang tidak bertuan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA