Selasa, 22 November 2016

Sertai BERSIH5: Mahfuz sedia terima sebarang tindakan

Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bersedia berdepan dengan sebarang tindakan oleh PAS berikutan kehadirannya pada perhimpunan BERSIH 5 Sabtu lalu.
Menurut Mahfuz, beliau bersedia menerima tindakan daripada parti kerana berpendapat kehadirannya pada perhimpunan tersebut adalah untuk rakyat Malaysia.
"Bersedia terima (sebarang tindakan).
"Terserah pada Jawatankuasa Disiplin. Itu terpulang pada parti untuk lihat ini satu kesalahan atau tidak.
"Apa saya lalukan hanya untuk rakyat Malaysia. Saya tak fikir himpunan BERSIH gugat orang ramai," kata bekas naib presiden PAS itu kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat hari ini.
Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS akan mengambil tindakan terhadap anggota parti itu yang menyertai perhimpunan BERSIH 5.
Menurut Abdul Hadi, sekiranya menerima aduan dan terbukti anggota parti berkenaan hadir pada perhimpunan tersebut, ia akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk tindakan.
Selain Mahfuz, antara yang hadir pada perhimpunan Sabtu lalu, termasuk bekas ketua pengarang organ rasmi PAS Harakah Ahmad Lutfi Othman dan artis Abby Abadi.
Sebelum ini, anggota Majlis Syura PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, walaupun tidak menyokong secara rasmi BERSIH5, parti itu tidak menghalang anggotanya menyertai himpunan berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA