Rabu, 30 November 2016

Semua ahli politik perlu isytihar harta, kata Rafizi

Alasan tidak mengisytiharkan harta kerana tiada jawatan dalam kerajaan memperbodohkan rakyat, kata Rafizi.
rafizi-ramli_rumah_600
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli membidas tindakan ahli politik yang tidak mahu mengisytiharkan harta dengan alasan tiada sebarang jawatan dalam kerajaan.
“Saya cukup tidak setuju jika ada yang kata, mereka yang ada jawatan dalam kerajaan sahaja perlu mengisytiharkan harta. Saya fikir jawapan itu memperbodohkan rakyat.
“Kalau saya berjawatan menteri dan mahu makan rasuah, pastilah saya tidak akan ambil kontrak atas nama saya. Pasti saya akan gunakan nama proksi, kroni, anak atau isteri,” katanya dalam sidang media di pejabat Invoke Malaysia hari ini.
Malah katanya lagi, mereka yang tidak berjawatan dalam kerajaan tetapi rapat dengan ahli politik atau penjawat awam juga sepatutnya mengisytiharkan harta.
“Ini kerana (cara penyelewengan) sudah jadi sofistikated. Lihat kes 1MDB misalnya, hanya auditor dan akauntan yang benar-benar berpengalaman mampu mengesan perjalanan wang terbabit,” katanya.
Sebelum ini, beliau pernah menasihatkan Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly yang didedahkan Datuk Seri Jamal Md Yunos memiliki kekayaan luar biasa, antaranya banglo dan beberapa kereta mewah, agar mengisytiharkan hartanya.
Bagaimanapun, Adam berkata beliau tidak perlu berbuat demikian kerana tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan Selangor, namun sedia berbuat demikian jika menerima arahan rasmi daripada parti.

Timbalan Ketua Pemuda PKR Amiruddin Shari juga menyuarakan pandangan sama seperti Adam.
Hari ini, Rafizi sekali lagi membuat pengisytiharan hartanya, selepas kali pertama berbuat demikian pada Mac 2015.
Malah pada minggu depan, beliau akan mula berkempen agar ahli politik dan penjawat awam berpangkat tinggi mengikuti jejak langkahnya.
“Kita akan berkempen, tulis surat dan nyatakan bagaimana untuk membuatnya. Saya akan hantar kepada semua 222 ahli Parlimen, pegawai tinggi kerajaan, ketua setiausaha, peguam negara, menteri serta exco kerajaan negeri yang ditadbir PAS dan Pakatan,” katanya lagi.
Menurut Rafizi, tinjauannya baru-baru ini mendapati 698 daripada 727 responden ingin ahli politik dan keluarga serta penjawat awam mengisytiharkan kekayaan mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA