Jumaat, 4 November 2016

Sembah terbuka Syed Saddiq pada Sultan Johor

Ampun Tuanku.
Menjunjung kasih ke bawah DYMM Tuanku Sultan Johor.
Patik memohon ampun limpah perkenan Tuanku untuk bercemar duli membaca warkah ringkas, ikhlas dari hati seorang rakyat.
DYMM Tuanku,
Sebagai salah seorang Bangsa Johor, patik berbangga apabila Tuanku lantang bersuara menentang rasuah, semangat perkauman dan salah guna kuasa.
Ini jelas menunjukkan bahawa Tuanku mengambil perhatian tentang keluh kesah rakyat Malaysia. Patik juga gembira melihat Tuanku banyak menolong mangsa dan keluarga tragedi Hospital Sultanah Aminah.
Berkenaan isu "pengharaman demonstrasi jalanan" yang aman, patik dengan rendah diri ingin merafak sembah bahawa patik melihat isu berkenaan dari sudut yang berbeza.
Tuanku,
Hak untuk berdemonstrasi dengan aman adalah hak setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.
Hak ini diiktiraf dalam undang-undang antarabangsa seperti Artikel 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Artikel 21 Waad Antarabangsa Mengenai Hak Awam dan Politik.
Patik faham akan keperluan untuk mengawal selia hak ini seperti apa yang diketengahkan dalam Akta Perhimpunan Aman.
Jika kita mengikut keputusan mahkamah rayuan Malaysia, hak untuk demonstrasi jelas berlandaskan perlembagaan persekutuan Malaysia (kes Nik Nazmi pada 2012 dan kes Yuneswaran pada 2015).
Perbezaannya hanya datang daripada keperluan untuk memberi notis kepada OCPD 10 hari sebelum perhimpunan awam tersebut. However in both cases, the right to peacefully assembly is well guarded.
Tuanku,
Memang patik tak nafikan bahawa rakyat Malaysia boleh mengundi keluar ahli politik yang mengkhianati kehendak rakyat, tetapi demokrasi merupakan sistem yang hidup setiap hari, bukan sahaja bila tibanya pilihan raya setiap lima tahun.
Hak berdemonstrasi merupakan salah satu tiang demokrasi, sama seperti hak untuk mengundi. Kita tak boleh pisahkan tiang-tiang demokrasi yang mencorakkan tanah air tercinta.
Tuanku,

Sejarah Malaya/Malaysia banyak diwarnakan dengan demonstrasi jalanan yang awam. From the rallies against Malayan union to the strikes declared by aggrieved employees.
Selagi keganasan tidak dibudayakan, perhimpunan aman ini sentiasa berjalan dengan lancar.
Malaysia pada hari ini diserang bertubi-tubi dengan skandal rasuah berskala besar dan salah guna kuasa yang menindas suara rakyat. Demonstrasi jalanan merupakan jalan demokrasi untuk kami mengekspresikan pandangan kami, terutamanya apabila tarikh pilihan raya belum ditentukan.
Apabila rakyat diasak oleh pemerintah negara, tolonglah jangan mengharamkan salah satu senjata demokrasi kami.
Rakyat dan raja berpisah tiada. Tolong pertahankan hak kami Tuanku.
Patik yang berdatang sembah,

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA