Selasa, 1 November 2016

Selangor bantu peminjam PTPTN disenarai hitam CCRIS beli rumah

Iskandar berkata, Bank Rakyat bersetuju meluluskan permohonan peminjam PTPTN yang disenarai hitamkan CCRIS, jika mereka membuat sedikit pembayaran tunggakan pinjaman pelajaran.
selangor-ccris
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor cuba membantu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitamkan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) memiliki rumah melalui rundingan dengan bank bagi melonggarkan syarat pinjaman perumahan.
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Bank Rakyat bersetuju meluluskan permohonan pinjaman perumahan peminjam PTPTN yang disenarai hitamkan itu, jika mereka membuat sedikit pembayaran tunggakan pinjaman pelajaran.
“Ini antara usaha kerajaan negeri membantu rakyat Selangor memiliki rumah, terutama dalam kalangan belia.
“Saya mempunyai hubungan baik dengan ketua pegawai operasi Perbadanan PR1MA Malaysia dan mereka mensyaratkan setiap program PR1MA disertai PTPTN agar pemohon dapat membuat semakan segera, selain berbincang bagi menyelesaikan masalah.
“Jadi, kita buat perkara sama memohon pemaju membawa PTPTN pada hari terbuka untuk semakan pemohon,” katanya dalam Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.
Beliau menjawab soalan Adun Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan yang ingin tahu langkah kerajaan negeri membantu lebih 70% peminjam PTPTN gagal mendapat pinjaman perumahan akibat disenarai hitamkan CCRIS.

Menurut laporan media, kira-kira 1.3 juta peminjam PTPTN yang ingkar mungkin gagal mendapat pinjaman bank atau memohon sebarang kemudahan kredit daripada institusi kewangan selepas disenarai hitamkan CCRIS.
Ini kerana, mereka tidak membayar pinjaman pendidikan dalam masa ditetapkan menyebabkan mereka dikategorikan sebagai “pembayar hutang teruk”.
CCRIS adalah pangkalan data yang dikendalikan Biro Kredit Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan boleh mengambil langkah menafikan permohonan pinjaman atau kemudahan kredit lain, berdasarkan rekod pembayaran mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA