Ahad, 6 November 2016

Sekarang nak buat apa pun mudah berbanding dahulu, akui Mursyidul Am Pas


Ustaz Hashim JasinUstaz Hashim JasinSecara berterus-terang, Mursyidul Am Pas Hashim Jasin mengakui parti itu tidak tergugat dengan perpecahan sehingga wujudnya parti Amanah Negara (Amanah) bahkan usaha untuk mendaulatkan syariat Islam tidak sukar seperti sebelum ini.
“Pemikiran pun sama dan hendak buat apa pun cukup mudah berbanding dahulu. Ada pun hasil keputusan pilihan raya kecil yang dinilai pelbagai pihak, itu bukan kerja kita,” ujarnya dipetik daripada wawancara separuh halaman di Mingguan Malaysia hari ini.
Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Perlis itu menyifatkan situasi perpecahan Pas seperti bercambahnya lebih banyak dahan pokok selepas dipotong.
“Ibarat apabila sebatang dahan pokok yang dipotong, satu kita buang, 10 bercambah. Saya terkejut apabila orang-orang baharu yang hebat-hebat dan yang selama ini tertekan, bila patah dahan, mereka muncul.
“Bukan sahaja dapat menggantikan yang hilang tetapi lebih lagi. Kita meningkat lebih baik dan saya lihat perjuangan untuk mendaulat syariat Islam lebih mudah masa sekarang,” jelasnya yang kini berusia 77 tahun.
Mengulas pindaan Akta 355, Hashim yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu menganggap partinya tidak mengalami sebarang kerugian jika pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan ditolak.

“Apabila kita membentangkan RUU 355 untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, jika diterima Alhamdulillah tetapi sekiranya ditolak, kita tidak rugi apa-apa.
“Apa yang penting, kita sudah melakukan untuk faedah manusia keseluruhannya,” tambahnya lagi dalam pertemuan lebih sejam dengan wartawan akhbar yang umum dikenali menjadi lidah Umno-BN itu.
Hashim dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang baharu dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama (MSU), 9 Oktober lalu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA