Selasa, 15 November 2016

Sejauh mana Pakatan Harapan bersedia tambat hati pengundi?


konvensyen-pakatan
Sebaik melabuhkan tirainya petang Sabtu lalu, Konvensyen Pakatan Harapan 2016 dilihat berjaya meraih tumpuan dan petunjuk positif rata-rata rakyat khususnya pemerhati politik tanah air.
Satu-satunya muafakat pembangkang terbesar itu juga berjaya memberi gambaran positif kerjasama erat dan kesepakatan parti-parti dalam gabungan itu lebih-lebih lagi dengan kehadiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Pengumuman Tun Dr Mahathir terhadap kesediaan PPBM untuk bersama bersetiakawan dan bergabung dengan Pakatan Harapan memberi signal jelas kepada rakyat khususnya pengundi Barisan Nasional bahawa sudah tiba masanya kerajaan pimpinan Presiden Umno Najib Razak digantikan dalam pilihanraya akan datang.
Namun, sikap optimis kepada perubahan itu menimbulkan satu persoalan penting iaitu sejauh manakah Pakatan Harapan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14?
Persoalan ini dibangkitkan sendiri oleh Ketua Sosialis Muda DAP Kebangsaan (DAPSY) Wong Kah Woh dalam ucapannya di konvensyen tersebut.
Beliau menarik perhatian perwakilan terhadap peri penting mewujudkan bukan sahaja sebuah gabungan pembangkang yang besar tetapi bagaimana untuk memenangi hati rakyat.
Selain itu, beliau turut mahu semua pimpinan Pakatan Harapan berfikir dan bersedia untuk membentuk dan berkhidmat kepada rakyat sebagai sebuah kerajaan.
Jadi gabungan kuat dan unggul
Tegasnya, untuk memenangi hati majoriti rakyat, Pakatan Harapan perlulah menjadi dan menunjukkan sebuah gabungan kuat dan unggul (united front).
“Sekiranya kita ingin memenangi hati rakyat, kita harus menunjukkan satu ‘united front’. Sebarang salah faham kita selesaikan dengan cara baik tanpa perlu membuka pekung di dada.
“Kita semua berada di dalam satu pakatan, bermakna kita boleh bertolak ansur dan bawa berbincang.
“Kita harus elakkan perbalahan yang tidak membawa apa-apa keuntungan kepada Pakatan Harapan. Saya berharap supaya selepas konvensyen ini, kita lihat ke hadapan dan amalkan politik matang demi kerjasama pilihanraya akan datang sesama parti komponen Pakatan Harapan,” tegasnya.
BN dalam keadaan paling lemah
Beliau yang juga ADUN Canning itu berkata, saat ini merupakan masa di mana Barisan Nasional dan Umno berada dalam keadaan paling lemah akibat kemelut pentadbiran, skandal kewangan mega 1MDB dan kenaikan mendadak kos sara hidup rakyat.
Segala kemelut dan kepincangan dalam kerajaan BN ini jelasnya merupakan sasaran kepada kemarahan rakyat Malaysia terhadap BN.
Namun, di sebalik kelemahan dan ketempangan kerajaan itu, persoalan yang timbul ialah mengapa masih ada lagi rakyat yang menyokong BN?

“Apabila (pembangkang) kalah pilihanraya, sesetengah kita mula menyalahkan pengundi.
“Tetapi persoalan yang penting adakah, samaada kita sendiri telah menunjukkan bahawa kita adalah alternatif yang berdaya maju?
“Adakah kita telah membuktikan kepada pengundi bahawa kita layak mengambil alih dan boleh melakukannya dengan lebih baik?” soal peguam muda itu lagi.
Menurut Kah Woh rata-rata pengundi khususnya golongan atas pagar turut menyuarakan kegusaran mereka terhadap kelemahan BN.
Namun, golongan itu tidak melihat parti-parti dalam gabungan pembangkang menunjukkan kekuatan dan kesepaduan mereka mendepani BN sebaliknya sering berbalah dari sehari ke sehari.
“Jadi siapakah yang pengundi akan pilih? Satu barisan yang lemah tetapi bersatu, atau satu pakatan yang kuat tetapi saling berbalahan?” soal beliau.
Justeru katanya, disinilah titik mula parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan perlu menunjukkan komitmen terhadap permuafakatan dan kesatuan di kalangan mereka.

Ambil iktibar daripada pilihanraya Presiden Amerika Syarikat

Pakatan Harapan juga katanya perlu mengambil iktibar daripada pilihanraya Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini di mana sejumlah sekitar 12 juta pengundi berdaftar tidak keluar mengundi.
Daripada 130 juta rakyat yang keluar mengundi dalam Pilihanraya Presiden tahun 2008 yang menyaksikan kemenangan Barack Obama, kali ini, jumlah tersebut menyusut kepada 118 juta pengundi sahaja.
“Kemerosotan sebanyak 12 juta pengundi yang tidak keluar mengundi dan tidak termasuk pengiraan penambahan pengundi dalam masa lapan tahun ini telah menukar keputusan akhir pilihanraya dan hala tuju Amerika Syarikat dalam empat tahun yang akan datang.
“Barisan Nasional akan menang jika kita tidak dapat memaparkan suatu “formidable opposition front”. BN akan dapat memang dengan taktik Donald Trump yang menyatakan “If you don’t support me, nevermind, do not come out to vote Hillary”. Inilah cabaran yang sebenar-benarnya di hadapan kita,” kata Ketua DAPSY itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA