Rabu, 16 November 2016

Saya tak jamin tindakan penyokong ‘lapar’, kata Jamal Yunos

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu menjangkakan seramai 300,000 orang hadir menyertai Baju Merah yang terdiri daripada pelbagai kaum.
jamal_merah1
KUALA LUMPUR: Pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Yunos berkata, beliau tidak dapat menjamin tindakan “lapar” penyokongnya pada perhimpunan Bersih 5, Sabtu ini.
“Saya tidak pasti kerana saya tidak menyediakan makanan untuk mereka yang merancang menyertai kami dalam Bersih 5.
“Apa yang pasti, mereka yang merancang menyertai kami pada hari itu akan ‘lapar’,” katanya sambil disambut sorakan dan tepukan penyokongnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Jamal berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan wartawan pada sidang akhbar di sini, sama ada Baju Merah akan mempedulikan tentang komitmen Bersih 5 dalam memastikan ia menjadi perhimpunan aman dan bukannya ganas pada 19 November ini.
Beliau hadir bersama-sama 50 penyokong berbaju merah.
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu juga enggan mendedahkan sebarang maklumat lanjut berhubung lokasi perhimpunan kumpulan itu dan hanya menjawab,
“Itu strategi kami. Kita tidak boleh mengumumkannya sekarang. ”
Bagaimanapun, apabila ditanya lanjut oleh pemberita, Jamal berkata Baju Merah akan berkumpul di mana sahaja lokasi dirancang Bersih 5 untuk berhimpun.
“Jika anda bertanya di mana tempat kami berkumpul, mengapa tidak bertanya di mana ‘baju kuning’ (Bersih) akan berkumpul.
“Di mana ‘kuning’ berada, di situ juga ‘merah’ ada.”
Sebelum ini, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah mengumumkan penyokong Bersih 5 akan berkumpul di 2 lokasi, Dataran Maybank di Jalan Bangsar dan Masjid Jamek.
Para penyokong kemudian akan berarak ke arah Dataran Merdeka.

Jamal berkata beliau berharap dapat bertembung laluan dengan pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng, Tony Pua, Lim Kit Siang dan juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Jika saya boleh bersalaman dengan Dr Mahathir, saya akan dapat memenuhi janji saya kepadanya.”
Sebelum ini, Jamal dipetik berkata semasa konvoi Bersih 5 di Kapar, beliau menyesal pernah bersalaman dengan Dr Mahathir dan mencium tangannya.
Jamal berkata, jika berpeluang bertemu lagi dengan Dr Mahathir,, beliau akan meludah tangannya.
Jamal berkata beliau menjangkakan seramai 300,000 orang hadir menyertai Baju Merah pada 19 November, sambil menambah ia akan terdiri daripada pelbagai kaum.
“Kami yakin pelbagai kaum akan menolak Bersih pada 19 November.
“Mereka (penyokong Baju Merah) sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada hari itu.”
Jamal mengingatkan: “Jika tidak ada kuning, tidak akan ada merah.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA