Khamis, 24 November 2016

Saya tahu apa Maria alami sekarang, kata Anwar

Bekas ketua pembangkang itu mengecam tindakan Sosma ke atas Maria dan menuntut Zahid bertanggungjawab.
anwar-maria
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab di atas penahanan Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, atau Sosma.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan melalui pejabat PKR hari ini, bekas ketua pembangkang yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun itu berkata beliau memahami apa yang dilalui pengerusi Bersih 2.0 itu.
“Sewaktu penahanan saya di bawah ISA di Batu Cantonment, di mana saya percaya Maria sedang ditahan, tidur saya telah diganggu, saya dikenakan soal siasat yang tidak tentu waktunya dan amat mengelirukan, makanan dan keadaan kebersihan yang kurang memuaskan.
“Lampu terang dibiar terpasang dalam bilik tahanan siang dan malam,” kata Anwar, yang pernah ditahan 2 kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk selepas pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada September 1998.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) baru-baru ini mengadakan pemeriksaan ke atas Maria, yang ditahan di sebuah lokasi rahsia selepas ditangkap Jumaat lalu, sehari sebelum perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur.
Delegasi Suhakam diketuai pengerusi Tan Sri Razali Ismail memberitahu, aktivis berusia 60 tahun itu dikurung keseorangan dan tidak disediakan tilam untuk tidur.
Maria dilaporkan turut meminta diberikan naskhah al-Quran, bahan bacaan di samping ingin menemui anak dan keluarganya.

Anwar berkata penahanan Maria merupakan bukti Sosma “membahayakan kebebasan dan keselamatan semua rakyat Malaysia”.
“Sekiranya seorang pemimpin masyarakat madani seperti Maria boleh ditahan di bawah Sosma, maka tiada seorang rakyat Malaysia pun yang selamat dari terkena nasib yang sama,” katanya.
“Zahid Hamidi mesti mengambil tanggungjawab ke atas penahanan Maria. Keengganan beliau mengambil tindakan sejak Maria ditahan polis tidak boleh dimaafkan.
“Bukankah Zahid menteri yang berkenaan dalam hal ini? Apakah beliau tidak mahu bertanggungjawab?” soal beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA