Selasa, 1 November 2016

'Saya ibarat perempuan cantik, semua orang nak saya' - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Kredibiliti yang dimiliki Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), pada masa ini menjadikan ia pilihan beberapa pihak terutamanya ahli politik kerajaan dan pembangkang yang mahu menjalin kerjasama dengannya.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali bagaimanapun berkata, pihak-pihak terbabit kini dilihat cuba memburukkan reputasi yang ada dengan pelbagai tohmahan yang bermotif untuk menjatuhkannya selepas kerjasama itu ditolak.

"Ibaratnya, saya ini seorang wanita cantik. Ramai yang ingin menjadikan saya isteri mereka tetapi saya tidak minat kepada mereka.

"Akibat saya menolak 'cinta' mereka, saya diburukkan dengan pelbagai tohmahan," jelasnya dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat Perkasa pada Isnin.

Katanya lagi, matlamat perjuangan yang dibawa Perkasa adalah jelas, iaitu memperjuangkan isu berkaitan Bumiputera.

"Perebutan sesetengah parti politik ke atas Perkasa merumitkan perjuangan saya dalam menggalas kepentingan agama, bangsa dan negara," katanya.

Tambah beliau, dia mahu menjadikan Perkasa sebagai jambatan perpaduan buat semua parti politik dalam memperjuangkan hal-hal berkaitan Islam, orang Melayu dan kaum peribumi di Malaysia tanpa dipisahkan oleh ideologi politik.


Beliau turut menjawab dakwaan dalam laporan portal minggu lalu kononnya matlamat perjuangan Perkasa sama seperti Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Jelas beliau, dakwaan tersebut ternyata fitnah memandangkan gerak kerja yang dibuat Perkasa hanya berlandaskan badan bukan kerajaan.

Katanya, ada banyak perbezaan perjuangan antara kedua-dua pertubuhan berkenaan.
"Mereka memperjuangkan 'need based policy' dan kesamarataan dalam perkara yang kita tahu masyarakat pribumi banyak ketinggalan.

"Contohnya mengenai pembahagian ekonomi, isu agama, pluralisme," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA