Ahad, 6 November 2016

Saya bukan ‘penjilat’, ‘penderhaka’, kata Syed Saddiq

Syed Saddiq melahirkan kekesalan kerana perbezaan pendapat tidak diraikan.
syed-saddiq-johor
PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempertahankan tindakannya menulis surat terbuka kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan berkata beliau bukan “penjilat” atau “penderhaka”, sebaliknya seorang yang berprinsip.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Facebook, Syed Saddiq melahirkan kekesalan kerana perbezaan pendapat tidak diraikan.
Ini terbukti dengan beberapa tuduhan “penjilat” yang diterimanya apabila memuji Sultan Johor dan Tengku Mahkota Johor (TMJ) dalam beberapa isu.
Namun, apabila beliau berbeza pendapat dengan Sultan Johor, orang yang sama memanggilnya “penderhaka”.
“Bila saya menulis surat memuji tindakan Sultan dan TMJ kerana lantang bersuara menentang rasuah, saya dipanggil ‘penjilat’. Bila saya menulis surat mengutuk tindakan YB Nazri Aziz yang merendah-rendahkan TMJ, saya dipanggil ‘penjilat’.
“Bila saya menyokong usaha Tuanku untuk menggagaskan semangat pemuafakatan sesama kaum dan agama melalui #BangsaJohor, saya dipanggil penjilat. Bila saya menyokong kenyataan TMJ untuk menubuhkan sekolah satu aliran demi perpaduan, saya dipanggil ‘penjilat’.
“Malangnya, orang sama yang sebelum ini memanggil saya ‘penjilat’, sekarang ini memanggil saya ‘penderhaka’ kerana berbeza pendapat dengan Tuanku,” katanya.
Menerusi kenyataan itu juga, beliau mengakui baru sahaja dimaklumkan akan disiasat di bawah Akta Hasutan kerana surat terbuka itu.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan pihaknya akan memanggil Syed Saddiq untuk diambil keterangan dalam siasatan berhubung kandungan surat terbuka yang ditujukan kepada Sultan Johor.
Dalam surat terbuka yang dimuat naik di laman Facebooknya, Syed Saddiq mengkritik larangan mengadakan demonstrasi di Johor yang dititahkan Sultan Johor pada Khamis lepas.
Siasatan dibuat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA