Ahad, 13 November 2016

Satu logo Pakatan Harapan dan Bersatu elak rakyat keliru


Pakatan Harapan dan PPBM perlu memilih salah satu logo untuk digunakan dalam PRU14Pakatan Harapan dan PPBM perlu memilih salah satu logo untuk digunakan dalam PRU14
Cadangan Pakatan Harapan agar parti pembangkang - Amanah, DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanding menggunakan satu logo memudahkan penyeragaman manifesto dan gerak kerja pilihan raya yang lain.
Timbalan pengerusi Amanah Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, pertandingan atas satu logo sahaja memudahkan Pakatan Harapan dan PPBM untuk berkempen dan dikenali rakyat.
"Cadangan ini melambangkan perpaduan erat antara komponen-komponen Pakatan Harapan dan PPBM.
"Apabila logo bagi semua parti PH dan Bersatu sama, rakyat tidak keliru untuk memangkah sewaktu membuang undi," katanya.
Dalam Konvensyen Pakatan Harapan di Shah Alam semalam, pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan agar Pakatan Harapan dan PPBM menggunakan satu logo dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan disambut baik oleh presiden Amanah Mohamad Sabu.
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli pula berjanji akan membawa cadangan penggunaan satu logo ke Sekretariat Pakatan Harapan dengan segera untuk dikaji dari segi pelaksanaannya.
Mohd Sofi berkata, logo yang digunakan akan menjadi alternatif kepada gabungan BN kerana selain lambang dacing hanya ada lambang Pakatan Harapan dan PPBM.
"Parti-parti yang tidak bersama Pakatan Harapan dan PPBM bolehlah disifatkan tidak serius menentang BN," katanya.
Justeru katanya, usaha mesti digerakkan bagi mencapai matlamat ini dengan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa seperti pendaftar pertubuhan (ROS), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak lain yang berkaitan bagi mendapat maklum balas dan fakta berkaitan proses mendapat kebenaran menggunakan satu logo.

"Jawatankuasa atau pasukan untuk mengkaji implikasi undang-undang jika pihak berkenaan tidak mahu bekerjasama atau menolak permohonan tersebut juga perlu dilantik.
"Kempen menerangkan kepentingan menggunakan satulogo kepada ahli -ahli parti komponen perlu dilakukan.
"Adalah diharapkan pihak majlis presiden dan sekretariat berusaha bersungguh-sungguh dari sekarang bagi merealisasikan hasrat murni ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA