Khamis, 17 November 2016

Saman AES RM150: Menteri buta atau media silap?


Oleh Zulhazmi Sharif
Media melaporkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liong Tiong Lai menyatakan bahawa jemaah menteri bersetuju untuk menetapkan kadar denda bagi kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan di bawah sistem penguatkuasaan automatik (AES) ialah RM150 berbanding RM300 sebelum ini.
Beliau turut menyatakan saman-saman AES tidak akan dimansuhkan, malah akan menyenarai hitam penerima saman yang tidak menjelaskan saman daripada memperbaharui lesen memandu. Laporan ini amat memeranjatkan. Adakah menteri pengangkutan buta undang-undang bawah seliaan kementeriannya sendiri atau media tersilap lapor?
Jika media melaporkan dengan benar, saya ingin mengambil sedikit masa menteri untuk memberikan taklimat khas undang-undang kepada beliau kerana nampaknya penasihat undang-undang kementerian beliau gagal memberikan nasihat yang jelas.
Untuk makluman menteri dan seluruh warga Malaysia, bagi kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan melalui AES, peruntukan yang digunakan untuk pertuduhan ialah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu gagal mematuhi tanda isyarat lalu lintas.
Hukuman bagi kesalahan ini, jika sabit kesalahan, ialah denda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2000.
Seksyen 79(2) ini dipinda melalui Akta A1440 pada tahun 2012 untuk memasukkan hukuman denda tidak kurang RM300 adalah semata-mata memenuhi kehendak Model Kewangan Dengan Formula Tiga Langkah yang dipersetujui antara kerajaan dengan pengendali AES iaitu Beta Tegap dan Ates Sdn Bhd, ketika itu.
Tujuan ditetapkan minimum RM300 kerana melalui model kewangan tersebut, bagi setiap RM300 denda, syarikat Beta Tegap dan Ates Sdn Bhd akan mendapat RM16.
Sebelum tahun 2012, kesalahan bawah Seksyen 79(2) ini tiada denda minimum, jadi ini menyukarkan kerajaan membahagikan kutipan denda saman AES kepada syarikat pengendali. Justeru pindaan dibuat menetapkan denda minimum RM300 tersebut.

Hari ini menteri dilaporkan berkata jemaah menteri bersetuju denda bagi kesalahan tersebut ditetapkan kepada RM150. Adakah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah telah dipinda? Saya yakin tidak!
Justeru bagaimana jemaah menteri boleh menetapkan RM150? Jika penerima saman AES dibawa ke mahkamah dan mengaku salah atau dibuktikan bersalah, adakah mahkamah boleh menjatuhkan hukuman denda RM150 seperti yang ditetapkan oleh jemaah menteri sedangkan akta menetapkan tidak kurang RM300? Jawapannya TIDAK!
Keputusan jemaah menteri tidak mengubah peruntukkan akta melainkan ia dipinda. Keputusan jemaah menteri tidak mengikat mahkamah kerana mahkamah tertakluk kepada akta yang telah digubal.
Persoalannya ialah adakah menteri buta undang-undang atau tidak dinasihatkan secara perundangan sehingga membentangkan kepada jemaah menteri perkara yang bercanggah dengan undang-undang? Adakah jemaah menteri mentadbir negara tanpa mengikut undang-undang yang mereka sendiri gubal? Adakah kerajaan hanya mahu masyarakat mematuhi undang-undang sedangkan kerajaan tidak mematuhinya?
Denda bagi kesalahan memandu melebihi had laju tidak boleh kurang daripada RM300 kerana ia telah ditetapkan oleh akta yang digubal oleh kementerian. Tetapi kompaun bagi kesalahan ini boleh ditetapkan RM150 kerana had maksimum kompaun ialah RM300. Menteri buta atau media silap lapor?
Seperkara lagi ialah berkaitan kuasa JPJ menghalang penerima saman AES yang tidak menjelaskan saman dari memperbaharui lesen memandu.
Semua prosiding saman AES di mahkamah telah dibekukan oleh Jabatan Peguam Negara sejak 18 Disember 2012 sehingga sekarang. Ini bermaksud semua saman AES yang telah dikeluarkan dan ditetapkan tarikh kehadiran mahkamah, tidak dibawa ke mahkamah.
Jadi, saman-sanan AES ini tidak dikuatkuasakan walaupun saman itu dikeluarkan secara sah di bawah akta. Apabila saman tidak dikuatkuasakan, penerima saman yang tidak membayar saman tidak boleh dianggap mempunyai urusan yang belum selesai seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 29(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ini kerana saman tidak dibawa ke mahkamah dan penerima saman masih tidak dibuktikan bersalah. Menghalang seseorang memperbaharui lesen memandu hanya kerana tidak membayar saman yang tidak dibuktikan kesalahan ialah suatu bentuk hukuman.
Bagaimana boleh penerima saman dihukum tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan? Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan sejagat dan ruh undang-undang.
Akhir sekali saya menggesa menteri pengangkutan untuk mendapatkan nasihat undang-undang daripada penasihat undang-undang kementerian atau Jabatan Peguam Negara. Jika mereka juga tidak faham undang-undang, lebih baik kosongkan jawatan atau belajar serta kaji semula undang-undang yang mereka gubal.
Kepada warga Malaysia, patuhi undang-undang. Jangan bayar saman AES selagi prosiding mahkamah dibekukan. Simpan wang anda untuk perbelanjaan keluarga daripada memberikan kepada mereka membuat keuntungan.

1 ulasan:

  1. Bukalah kaunter untuk mendaftarkan saman kepada JPJ yang menghalang lesen memandu/cukai jalan untuk dijelaskan...

    di luar sini ramai yang tak dapat memperbaharui lesen dan roadtax...boleh ker minta tolong baju kuning buat demo depan JPJ??

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA