Rabu, 30 November 2016

Saifuddin: Zahid guna Hitler untuk ambil hati barat

Datuk Zaid Ibrahim mendakwa BN mengawal media, menanam ketakutan, menghapuskan perbezaan pendapat sama seperti tindakan Nazi ketika memerintah Jerman dari 1934-1945.
saifuddin-zahid-1
KUALA LUMPUR: Dua bekas pemimpin Umno bersuara menentang Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana berkata pembangkang di Malaysia seperti Adolf Hitler dan Nazi kerana mahu memusnahkan imej BN.
Datuk Saifuddin Abdullah yang kini bersama PKR berkata Zahid hanya cuba mengambil hati barat dengan menyamakan pembangkang dengan Hitler.
“Dia buat begitu demi kepentingan politiknya. Dia mahu barat melihatnya sebagai orang yang berpihak kepada mereka.
“Ini cara dia mengambil hati barat sebagai bakal perdana menteri,” katanya yang juga bekas timbalan menteri pendidikan tinggi.
Saifuddin yang kini ketua sekretariat Pakatan Harapan berkata Zahid tidak faham makna demokrasi.
“Jika dia faham makna demokrasi, dia akan tahu pembangkang melakukan apa yang perlu untuk rakyat dan BN sebenarnya yang menyakiti mereka,” katanya.
Sementara itu, bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata sebenarnya Umno yang memerintah Malaysia menggunakan cara sama Hitler mengawal media, sama seperti Nazi ketika mentadbir Jerman dari 1934 hingga 1945.
“Timbalan perdana menteri dan bos dia kini dalam keadaan panik. Gambaran yang Zahid beri itu lebih sesuai untuk Umno.
“Mereka panik kerana nampak macam akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” kata bekas menteri undang-undang itu.
PRU14 perlu diadakan selewat-lewanya 2 bulan selepas Parlimen sekarang dibubarkan, bermakna tarikh kemungkinan PRU14 diadakan ialah 24 Ogos 2018.
Semalam, Zahid berkata kejayaan Malaysia sebagai satu-satunya negara berbilang kaum dipimpin orang Islam di dunia menjadikannya objek iri hati, bukan sahaja kepada orang luar, tetapi juga pihak dalam negara.

Beliau berkata hasilnya ialah pelbagai “cerita” timbul untuk memusnahkan parti pemerintah Umno.
“Mereka juga mencipta papan cerita untuk membentuk persepsi keganasan bagi menjadikan masyarakat awam hilang kepercayaan terhadap pemimpin dan institusi negara yang merupakan tulang belakang kepada keamanan dan keharmonian kita.
“Saya pasti anda semua pernah mendengar mengenai pemimpin Nazi Jerman, Adolf Hitler yang membunuh berjuta-juta orang Yahudi semasa Perang Dunia Ke-2.
“Sebenarnya, kejayaan beliau datang daripada strategi propaganda yang berkesan berasaskan pembohongan. Plot pembangkang di negara ini kelihatan agak serupa,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA