Rabu, 30 November 2016

Sahut cabaran Rosmah, DAP ajukan soalan tentang Jho Low dan Altantuya


rosmah-10qKUALA LUMPUR, 30 NOV: Cabaran Datin Seri Rosmah Mansur agar sebarang persoalan mengenai dirinya ditanya secara berdepan bagi mengelakkan putar belit media sosial disahut Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng.
Menyatakan bahawa tidak mempunyai nombor telefon dan email isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu, Lip Eng justeru mengemukakan beberapa soalan dalam satu kenyataan medianya kepada Rosmah.
“Agak sukar juga untuk saya bertemu secara “face-to-face” (bersemuka) dengannya, memandangkan beliau dikawal ketat sepanjang masa,” ujarnya.
Soalan Lip Eng antara lain menyentuh mengenai hubungan Rosmah dan Najib dengan wanita warga Mongolia yang dibunuh secara kejam beberapa tahun lalu, selain mengenai Jho Low yang didakwa menyeleweng dana syarikat milik negara, 1MDB.
“Adakah Rosmah pernah bertemu mendiang Altantuya Shaariibuu sewaktu wanita Mongolia itu masih hidup?
“Adakah Rosmah telah berjumpa dengan Low Taek Jho (Jho Low) di Malaysia atau di luar negara selepas individu itu dinamakan dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika dan dituduh terlibat menggelapkan dana milik negara bernilai lebih US$1 bilion?” ujar senarai sepuluh soalan itu.

Menurut Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Rosmah sepatutnya tidak ada sebarang masalah untuk menjawab dengan jujur persoalan berkenaan memandangkan suaminya sebelum ini berpendirian bahawa dirinya (Najib) bersikap telus.
Rosmah yang juga penaung PERMATA, sebuah badan kerajaan yang beroperasi dengan peruntukan tinggi daripada belanjawan Najib saban tahun, seperti yang dilaporkan Bernama dua hari lepas berkata:
“Kalau ada baca (laman sosial atas nama saya), maknanya telah kena tipu. (Jika) ada apa-apa dengan saya, tanya secara berdepan. Cakap perkara yang betul, jangan cakap bohong”.
Ia ekoran serangan bertali arus yang diterimanya melalui laman sosial, Facebook dan Twitter.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA