Rabu, 23 November 2016

RUU Akta 355: Parti politik mesti muafakat untuk kepentingan Islam


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan taklimat berkaitan RUU Akta 355 di bangunan sementara parlimen pada 22 NovemberTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan taklimat berkaitan RUU Akta 355 di bangunan sementara parlimen pada 22 November
Parti-parti politik boleh berbeza pandangan tetapi mesti bermuafakat dan bekerjasama dalam hal-hal melibatkan kepentingan Islam dan ummah, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki.
Beliau diminta mengulas kehadiran ahli-ahli parlimen beragama Islam yang hadir ke taklimat khas berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 di parlimen semalam.
"Hari ini dalam sejarah ahli-ahli parlimen beragama Islam daripada pelbagai parti tidak kira kerajaan mahupun pembangkang berkumpul bersama untuk berbicara secara terbuka dan ikhlas mengenai cadangan pindaan Akta 355 Mahkamah Syariah yang menjadi bahan polemik dalam masyarakat kini.
"Yang penting pimpinan parti-parti siasah bersepakat bahawa usaha memartabatkan Islam mesti menjadi agenda bersama.
"Kita boleh berbeza pandangan tetapi dalam hal-hal yang melibatkan kepentingan Islam dan ummah, mesti bermuafakat dan bekerjasama. Moga ini menjadi satu budaya baru dalam politik di Malaysia hari ini dan masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Taklimat tersebut disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Ahmad Zahid memberitahu, usul RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 akan dibentangkan sama ada hari ini atau esok yang merupkan hari terakhir sidang parlimen.
"Akan dibentangkan minggu ini," katanya.
Beliau yang juga ketua whip BN turut akan mengemukakan cadangan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menubuhkan jawatankuasa pemilihan (select committee) bagi memberi penjelasan terperinci berhubung pindaan akta berkenaan.
"Oleh yang demikian, penjelasan kita bincang tadi antaranya mengambil keputusan supaya sebuah jawatankuasa pemilihan dibentuk yang melibatkan ahli parlimen Islam dan bukan Islam dalam jawatankuasa itu.
"Ia untuk memperincikan jika terdapat unsur tak jelas mengenai pembahagian kuasa yang ada dalam Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil," katanya sambil menegaskan pindaan akta tersebut hanya untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah sahaja.

Menurut beliau juga, cadangan penubuhan jawatankuasa berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat jemaah menteri untuk mendapat persetujuan kabinet.
"Saya akan bawa cadangan ini kepada perdana menteri untuk dibentangkan di mesyuarat jemaah menteri bagi mendapat persetujuan kabinet supaya perkara ini dapat diterima pakai kerana cadangan-cadangan yang disebut ahli parlimen dari pelbagai parti adalah pertama kali.
"Ia satu permulaan yang baik dan kita hormati sensitiviti agama lain... dan tidaklah tujuan Marang (Abdul Hadi) untuk mempolemikkan keadaan atau mengeruhkan suasana kepelbagaian agama di negara ini," katanya yang juga ahli parlimen Bagan Datoh.

1 ulasan:

  1. Mahukah mca mic dan gerakan menyokong akta ini? Subra dah ugut nak letak jawatan kalu akta ini lulus.

    BalasPadam

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA