Sabtu, 26 November 2016

RUU 355: Hormati semangat demokrasi, kata peguam

Semua rakyat Malaysia tidak kira agama berhak mengutarakan pandangan tentang cadangan Hadi kerana ia pindaan akta digubal Parlimen, kata Syahredzan.
Syahredzan
PETALING JAYA: Ahli Parlimen bukan Islam mempunyai berhak menyertai perbincangan berhubung Rang Undang-undang (RUU) Persendirian dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana ia akan diluluskan oleh Parlimen, peguam Syahredzan Johan.
“Walaupun undang-undang ini berkenaan dengan Mahkamah Syariah, ia tetap mesti diluluskan oleh Parlimen, yang terdiri daripada yang Muslim dan bukan Muslim. Jadi ahli Parlimen bukan Muslim berhak untuk menyertai perbincangan tentang cadangan pindaan Marang (ahli Parlimen Marang) ini,” katanya melalui status di Facebook peribadinya hari ini.
Menurutnya lagi, semua rakyat Malaysia tidak kira agama juga berhak mengutarakan pandangan tentang cadangan Hadi kerana ia adalah pindaan akta yang digubal Parlimen dan merupakan semangat demokrasi yang mesti dijunjung semua.
Pandangan beliau ini susulan kenyataan dikeluarkan Hadi selepas menangguhkan pembentangan usul RUU bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) pada 24 November lalu.
Hadi yang juga ahli Parlimen Marang mengingatkan ahli politik bukan Islam, termasuk ahli Parlimen, agar tidak masuk campur dalam usul berkaitan orang Islam dengan menjadikan Gabenor Jakarta yang beragama Kristian, Basuki Tjahaja Purnama sebagai contoh.
“Saya ingin mengingatkan mereka (ahli politik bukan Islam) agar tidak berkelakuan seperti Ahok di Jakarta.
“Hal berkaitan Islam dan usul yang ditujukan kepada orang Islam adalah di bawah Raja-raja Melayu. Ia tidak sepatutnya mendapat campur tangan orang bukan Islam,” kata Hadi yang juga presiden PAS.
Menurut Syahredzan lagi, terdapat keperluan tambahan yang perlu diambil kira berkenaan isu ini kerana cadangan pindaan Akta 355 dibentang Hadi baru-baru ini berbeza dengan cadangan RUU yang asal.
“Ini bukan pindaan kecil, malah menukar natijah apa dicadangkan. Kalau sebelum ini, Marang ingin meminda Akta 355 untuk membenarkan Mahkamah Syariah mengenakan apa-apa hukuman melainkan hukuman mati tetapi kini Marang mencadangkan meningkatkan had hukuman yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah.”
Pada akta asal, pesalah boleh dihukum penjara 3 tahun, denda RM5,000 dan sebatan 6 kali dan pindaan dicadangkan adalah tiada had kecuali hukuman mati.

Bagaimanapun, cadangan terkini berubah kepada hukuman penjara 30 tahun, denda RM100,000 dan sebatan 100 kali.
Justeru, beliau menggesa cadangan ini disemak semula kerana menimbulkan beberapa persoalan yang perlu dihuraikan Hadi.
“Malangnya perkara itu tidak dihuraikan oleh Marang semasa cadangannya dibangkitkan di Parlimen baru-baru ini. Marang sepatutnya mengambil kesempatan untuk sekurang-kurangnya memberi huraian am tentang pindaannya, dan kemudian memohon supaya apa-apa debat dilangsungkan pada sidang yang akan datang.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA