Selasa, 15 November 2016

Risalah 1MDB tuduh peguam negara AS, ramal tunai RM3 bil dalam program anjuran Jasa di Australia

Buku kecil dalam Bahasa Melayu itu diedarkan dalam program anjuran Jasa di Australia baru-baru ini.
buku-1mdb
PETALING JAYA: Sebuah buku kecil yang diedarkan di sebuah program penjelasan isu 1MDB anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Australia baru-baru ini menuduh Peguam Negara Amerika Syarikat, di samping membuat ramalan syarikat itu bakal menerima lebihan tunai hampir RM3 bilion dalam tempoh 20 tahun lagi.
Akhbar The Australian melaporkan, buku kecil itu menuduh Loretta Lynch sengaja membangkitkan saman menyita aset syarikat berkenaan atas kepentingan peribadi.
Meneliti kandungannya, buku 20 muka surat itu turut mendakwa saman Jabatan Kehakiman AS (DoJ) untuk menyita aset yang didakwa dicuri daripada dana 1MDB di negara itu sebenarnya usaha Lynch mengalihkan perhatian umum terhadap skandal email Hillary Clinton, calon pilihan raya presiden yang tewas kepada Donald Trump pada 9 November lalu.
Jasa baru-baru ini menganjurkan program di Sydney, Australia, sebagai usaha kerajaan menyasarkan pelajar Malaysia di luar negara untuk menjelaskan tuduhan ke atas syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
Antara lain, program tersebut dihadiri Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy. Bagaimanapun, The Australian berkata wartawannya diusir keluar daripada program itu. Sebelum ini, wartawan Rachel Pannett dari The Wall Street Journal, akhbar yang kerap melaporkan kepincangan syarikat 1MDB, turut diusir keluar, selepas penganjur menetapkan hanya mereka yang dijemput dibenarkan masuk.
The Australian melaporkan buku kecil yang diedarkan itu turut mempersoalkan dakwaan yang “Malaysian Official 1” (M01) yang disebut dalam saman DoJ pada Julai itu merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Menurut buku itu, DoJ tidak menamakan MO1 kerana tidak mempunyai bukti dan maklumat bagi mengaitkannya dengan kesalahan yang diperincikan dalam permohonan menyita aset 1MDB.
Buku itu juga mendakwa 1MDB bakal melaporkan keuntungan RM2.96 bilion selepas ia ditutup pada 2039, menyandarkan ramalan itu kepada aliran tunai RM12.29 bilion daripada projek utamanya, Tun Razak Exchange.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA